PRK Pelangai: Jentera BN Jangan Leka, Bersedia Hadapi ‘Serangan’ – Amizar

BENTONG, 28 Sept – Berbaki lapan hari lagi sebelum tempoh kempen berakhir pada 11.59 malam, 6 Okt ini, jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dingatkan agar tidak leka dan terlalu selesa.

Calon parti itu, Datuk Amizar Abu Adam berkata jentera parti perlu bersedia menghadapi sebarang ‘serangan’ yang mungkin dilakukan pihak lawan.

“Kita tidak tahu serangan apa yang akan berlaku. Kita mesti siap siaga 24 jam,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni masyarakat India dan Cina di sekitar Telemong di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amizar yang merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong berkata beliau akan melancarkan manifesto BN buat rakyat Pelangai dalam masa terdekat.

“Kami telah menghampiri (hadir) hampir kesemua pertemuan (libat urus dengan masyarakat) dan kita akan lancarkan manifesto tidak lama lagi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai perincian manifesto tersebut buat masa ini.

PRK Pelangai pada 7 Okt ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor, bulan lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.