PRK Bukan Mahu Tubuh Kerajaan, Tok Mat Saran Pilih BN Bawa Suara Pelangai

BENTONG, 28 Sept – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai 7 Okt ini bukanlah untuk membentuk kerajaan negeri dan ia tidak sepertimana Pilihan Raya Umum (PRU).

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri Pahang hari ini sudah terbentuk dan dipimpin oleh Menteri Besar (MB) Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan exco yang lain.

Menurut beliau atas dasar itulah kini terpulang kepada pengundi di DUN Pelangai untuk membuat pilihan sama ada bersama dengan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Wan Rosdy serta seiring dengan kerajaan di peringkat persekutuan atau sebaliknya.

“PRK ini bukan nak tubuhkan kerajaan… MB dah ada dan exco pun dah ada… mahu  bersama dengan kerajaan negeri atau sebaliknya. Kalau nak bersama Datuk Amizar (Amizar Abu Adam) yang ada depan mata ini tidak usah pening kepala… 7 Oktober ini pangkah BN.

“Kalau tersalah pilih tidak akan bersama kerajaan negeri… jangan kita buat silap, apabila kita buat silap lihat sahaja negara kita selepas PRU-14 yang lalu… kesannya hingga ke hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Pengundi, di Bilik Gerakan BN, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Chemomoi, di sini malam tadi.

Sesi ramah berkenaan turut menampilkan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Alwi Che Ahmad dan pimpinan lain.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya menambah pertimbangan sebaiknya amat penting dalam membuat pilihan dan ia bukan pilihan yang boleh dibuat sewenang-wenangnya.

“Saya mintalah buat keputusan elok… kita nak pastikan selepas 7 Oktober nanti Datuk Amizar akan dipilih sebagai wakil kita untuk masuk di dalam DUN untuk bawa suara Pelangai ke Kuantan bagi memastikan segala masalah dan cadangan selain apa yang dimulakan dan dihasratkan dapat dilaksanakan.

“Buat pilihan bukan mudah macam pilih juara AF (Akademi Fantasia)…akibat salah buat keputusan lima tahun menunggu gara-gara kita dengar fitnah dan hasutan…jangan kita ulang,” ujarnya.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.