PRK Pelangai: Manndzri Harap Pengundi Pilih Calon BN, Bawa Kestabilan Demi Kukuhkan Felda

BENTONG, 27 Sept – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib mengharapkan agar para pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Jelasnya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara itu, kestabilan dan kesinambungan pemerintahan UMNO/BN telah menjadikan Felda dalam keadaan yang seperti sekarang ini.

“Sebenarnya ada satu lagi faktor iaitu kestabilan dan kesinambungan. Kalaulah takdir tuhan pada tahun 1995 kita mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dan melalui PRU-PRU seterusnya, kerajaan bertukar ganti, sudah semestinya Felda tidak akan maju.

“Tetapi sebab sehingga tahun 1990 peneroka terakhir yang diambil di wilayah Sabah, saya ingat pada PRU ke-9 atau ke-10, kerajaan yang sama juga meneruskan usaha-usaha ataupun aspirasi Felda ini.

“Sebab itulah saya kira dengan izin Allah SWT, Felda itu jadi seperti sekarang. Kalau bertukar-tukar, saya rasa banyak benda yang akan jadi terbantut. Jadi, kesinambungan kestabilan itu, kebetulan Allah takdirkan UMNO/BN yang memerintah sehingga PRU ke-13,” katanya menerusi sesi wawancara di Facebook UMNO Online.

Menurutnya, kejayaan Felda sudah semestinya perlu disyukuri dan turut mengharapkan agar para pengundi memberi kemenangan kepada calon yang boleh menjamin kebaikan kepada para peneroka.

“Felda ini kita tengok dalam keadaan yang menjadi satu legasi yang unik. Felda ini jadi seperti dalam keadaan sekarang ini, kejayaannya tinggal hanya kita nak bersyukur ataupun tidak. Jadi, saya cuma nak ingatkan diri, keluarga saya dan semua orang Felda bahawa lagi kita bersyukur, tuhan akan tambah rezeki itu. Jangan sampai kita menjadi warga Felda yang tidak bersyukur.

“Saya mengharapkan supaya para pengundi di DUN Pelangai mengundi pasukan saya iaitu BN dan saya tengok daripada ketiga-tiga calon ini semua datang daripada Pelangai. Pilihlah yang boleh menjamin sesuatu terbaik di sini,” katanya lagi.

Mengluas lanjut, Manndzri turut menzahirkan keyakinan beliau terhadap segala perancangan yang telah dilakukan oleh Allahyarham Datuk Johari Harun semasa menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai.

“Kalau paling simple pun, saya tengok di Pelangai ini kita ada pasukan Perpaduan. Jadi, kalau dahulu arwah Datuk Seri Johari Harun daripada BN, banyak yang dirancang dan dirangka. Pilihlah pasukan yang sama supaya segala perancangan dapat digerakkan.

“Dalam kes Pelangai ini, bukan masyarakat Felda sahaja. Saya difahamkan ada orang asli dan masyarakat kampung yang paling mudah untuk kita nampak ialah kalau pasukan itu sama, lebih mudah.

“Berilah kemenangan kepada calon daripada BN yang membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri Pahang maka terbentuk keselarian kerajaan negeri dan pusat. Akan ada lebih banyak perkara baik akan dibuat,” katanya lagi.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Okt ini.

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Okt ini berikutan kematian Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Okt sebagai hari undi awal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.