PRK Pelangai: Jangan Terpengaruh ‘Jualan Murah’ Syurga, Neraka Pas – Mustapha

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai diingatkan agar tidak terpengaruh dengan ‘jualan murah’ syurga dan neraka yang dibuat oleh Pas sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Islam adalah agama manakala Pas adalah sebuah parti politik.

“Veteran UMNO mengingatkan pengundi di Pelangai supaya tidak terpedaya dengan dakyah jualan murah Pas tentang Islam.

“Pas bukan Islam. Islam bukan Pas. Islam adalah agama. Pas adalah parti politik. Islam Maha Tinggi dan tidak ada sesuatu pun yang boleh mengatasi Islam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, hanya amalan dan keikhlasan yang menentukan nasib pengakhiran seseorang, bukannya parti Pas.

“Mempercayai undi Pas/Perikatan Nasional (PN) masuk syurga adalah karut dan terkeluar dari aqidah Islam.

“Oleh itu Veteran UMNO merayu agar pengundi Pelangai supaya tidak terpengaruh dengan jualan murah syurga dan neraka Pas.

“Bukan Pas yang menentukan seseorang Islam itu masuk syurga atau neraka. Hanya amalan dan keikhlasan yang akan menentukannya,” katanya.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Okt ini.

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Okt ini berikutan kematian Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Okt sebagai hari undi awal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.