PRK Pelangai: Amizar Mampu Beri Kemenangan Kepada BN – Ismail Sabri

BENTONG, 27 Sept – Pemilihan Datuk Amizar Abu Adam yang merupakan anak jati Felda Chemomoi adalah tepat dalam memberikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Okt ini.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana hampir separuh daripada keseluruhan 16,456 pengundi berdaftar di DUN Pelangai merupakan warga Felda iaitu Felda Chemomoi, Felda Sungai Kemahal dan Felda Sungai Kemasul.

Berdasarkan rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terdapat 7,983 pengundi di tiga Felda itu, iaitu 48.5 peratus daripada keseluruhan pengundi DUN Pelangai.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata sebagai anak Felda, Amizar amat memahami keluh kesah warga tanah rancangan itu, dan pemilihan anak Felda sebelum ini juga terbukti memberikan kelebihan buat BN seperti yang berlaku di Parlimen Paya Besar, Pahang.

“Banyak tempat pada Pilihan Raya Umum dulu-dulu (BN) kalah, tetapi di Paya Besar oleh kerana Shahar (Datuk Mohd Shahar Abdullah) dia anak peneroka Felda, dia mendapat undi yang baik,” katanya ketika hadir membantu jentera BN berkempen di Felda Sungai Kemahal di sini semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata jentera BN pada PRK DUN Pelangai perlu menjadikan platform media sosial sebagai ‘senjata’ utama dalam berkempen kerana ia adalah cara terbaik pada masa ini untuk mendekati pengundi terutama pengundi muda dan mereka yang berada di luar kawasan.

“Cara lama atau cara tradisi untuk berjumpa dan sebagainya mungkin agak susah terutamanya bila melibatkan pengundi luar. Mereka boleh melihat kempen kita melalui platform media sosial,” katanya.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Amizar, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.