Pengundi Pelangai Jangan Terpedaya Fitnah Pembangkang – Wan Rosdy

BENTONG, 27 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menasihati pengundi agar jangan terpedaya dengan pembangkang yang sering memanipulasikan fakta pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Jelasnya disebabkan fitnah yang melampau UMNO Pahang hampir tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Jangan dikelirukan disebabkan fitnah mengatasi fakta, selalunya fitnah itu menang. Sebab itu pada PRU lalu UMNO Pahang tidak mendapat majoriti disebabkan fitnah yang melampau dimainkan oleh pihak pembangkang. Fitnah yang disampaikan diputarbelitkan semua.

“Pas ini banyak auta, cakap tak betul dan kita berkerjasama dengan Dap selepas PRU ke-15. Sebelum pilihan raya kita tidak pernah kerjasama dengan mereka. Pas sudah dua kali berkerjasama dengan Dap sebelum pilihan raya.

“Pas ini berjaya menggunakan sentimen, berjaya membuat persepsi tapi mereka tidak ada prestasi. Kalau ikut prestasi kerajaan negeri adalah kukuh bukannya macam Pas yang tidak tentu hala dan rakyat pun percaya,” katanya.

Beliau berkata demikian di bilik gerakan UMNO cawangan Kampung Shafie, Pelangai, di sini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Mohd Zaini Saleh serta pengundi-pengundi Pelangai.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang menjelaskan UMNO bekerjasama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan yang dititahkan oleh Tuanku Agong tetapi Pas memutarbelitkan fakta dan membuat rakyat marah serta mainkan sentimen.

“Kita berkerjasama dengan Dap tetapi memberikan empat syarat iaitu agama Islam sebagai agama Persekutuan, hak istimewa orang Melayu, institusi Raja-raja Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, itulah syaratnya. Inilah yang harus dijelaskan kepada pengundi Pelangai yang masih terpesong disebabkan auta Pas.

“Jangan marahkan Dap kita tidak keluar mengundi ibarat kerana marahkan nyamuk bakar kelambu. Saya meminta pengundi-pengundi di DUN Pelangai keluar beramai-ramai dan memangkah calon BN Datuk Amizar Abu Adam,” ujarnya.

Pada masa yang sama jelas Wan Rosdy, sepanjang mentadbir negeri banyak penyelesaian telah berjaya dilakukan dan mengurus ketirisan dengan cekap.

“Kerajaan negeri Pahang berjaya menyelesaikan hutang… kerajaan negeri turut melakukan urus tadbir dengan cekap dan hasilnya diberikan pada rakyat.

“Kalau rakyat percaya pada BN pada pilihan raya lalu sudah pasti akan menang 2/3 tapi parti Pas telah memutarbelitkan apabila BN bergabung dengan PH dan mengatakan bahawa Islam akan habis; apabila dengan Dap dan UMNO akan tunduk dengan parti tersebut, itu tohmahan fitnah yang dilontarkan oleh Pas,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.