LTU: Amizar Boleh Teruskan Usaha Allahyarham Datuk Johari Laksana Pembangunan – Abdul Rahman

BENTONG, 27 Sept – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata bukan sahaja masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai memerlukan Datuk Amizar Abu Adam yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, malah kerajaan negeri Pahang dan juga pusat.

Katanya langkah itu penting kerana ianya sebagai jambatan antara satu sama lain iaitu Pelangai, kerajaan negeri hingga ke peringkat pusat dan begitulah sebaliknya. 

“Ini sangat penting bagi masyarakat di sini kerana perjuangan yang diilhamkan oleh Allahyarham Datuk Seri Johari ,sudah pastilah calon yang ada ini akan membawa kesinambungan kepada penduduk Pelangai.

“Antaranya Projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) daripada Karak Ke Pelangai hanya menunggu pertimbangan dan kelulusan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. Permohonan itu melibatkan peruntukan RM987 juta bagi pembinaan laluan sepanjang 35 kilometer.

“Di peringkat KKR, semuanya sudah selesai termasuk menyediakan reka bentuk jajaran laluan berkenaan bermula dari Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Sebaik sahaja peruntukan diluluskan, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan dan kita jangkakan mengambil masa antara tiga hingga lima tahun untuk disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama calon BN bagi PRK DUN Pelangai, Amizar menyantuni pengundi di Kampung Shafie di sini semalam.

LTU atau sebelum ini dikenali sebagai Lebuhraya Central Spine Road (CSR) menghubungkan Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Bentong, kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seterusnya menegaskan perkara berkenaan bukanlah soal pilihan raya tetapi soal rakyat yang telah diperjuangkan sebelum ini.

“Perkara ini diperjuangkan Allahyarham Datuk Seri Johari. Sewaktu beliau berjumpa dengan saya sebelum ini bertanyakan tentang kedudukan LTU atau dahulu dikenali CSR dan kemudian saya buat kunjungan hormat ke pejabat MB setelah dinasihat oleh JKR supaya kita mendapatkan surat daripada MB Pahang untuk diangkat kepada  EPU Menteri Ekonomi.

“Setelah saya bawa dalam mesyuarat ‘post-cabinet’ semua kerja telah selesai. Sebab itu saya mengatakan kita perlu pemimpin seperti Datuk Amizar kerana kerja-kerja  kesinambungan perlu beliau lakukan sebagai wakil yang berada di sini. Ini kepentingan masyarakat di Pelangai sendiri dan bukannya untuk kepentingan orang lain,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.