‘Kita Cara Kita’… Amizar Tidak Terikut Rentak Kempen Lawan Di Pelangai

BENTONG, 27 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berkata beliau tidak akan terikut dengan rentak kempen pihak lawan sebaliknya terus dengan cara tersendiri.

Menurut beliau apa yang penting maklumat sampai kepada penduduk setempat agar membuat pilihan yang terbaik dengan memilih BN demi kelangsungan DUN Pelangai.

UMNO-Online yang mengikuti sejak hari pertama kempen melihat beliau bukan sahaja cukup mesra dengan masyarakat setempat malah pelbagai lapisan golongan termasuklah golongan muda.

“Alhamdulillah… inilah cara saya. Saya orang Felda dan anak kampung di sini. Inilah antara pendekatan untuk menjiwai terutama anak-anak muda seperti santai-santai pada malam ini.

“Orang muda biasanya ceramah-ceramah jarang mahu datang. Mereka boleh duduk santai kedai kopi dan inilah cara yang saya amalkan dan bukannya pada waktu kempen ini sahaja. Bersemuka di kedai kopi dan sebagainya lagi,” katanya kepada UMNO-Online.

Anak-anak muda setempat mengambil peluang bersama dengan calon BN, Amizar pada sesi santai-santai di Simpang Pelangai dengan pelbagai cadangan dilontarkan kepada calon BN berkenaan.

Amizar seterusnya menambah cara kempen yang diterapkan adalah cara berkawan serta penuh berhemah dan penuh harmoni di kalangan masyarakat setempat.

“Hasilnya sebagai contoh… kita bawa 3P iaitu penempatan… perumahan mereka dan keduanya adalah pendapatan. Apabila ada perumahan mereka perlu ada pendapatan, jadi pendapatan ini penting dan seterusnya pekerjaan.

“3P ini antara objektif utama yang akan saya bawa. Anak muda memerlukan tiga elemen ini. Baik di Felda, kawasan-kawasan lain pun begitu juga. Benda (perkara) yang sama diutarakan. Mereka mahukan penempatan, pendapatan dan pekerjaan,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau seterusnya melihat pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pihak lawan menggambarkan sikap sebenar pembangkang.

“Cara mereka nak berkempen terpulang. Bagaimana cara mereka sajikan kepada rakyat juga terpulang. Pada saya BN kita telah dididik dengan budaya tersendiri. Bukannya maki hamun dan menghentam orang… kita dengan cara kita, insya-Allah pengundi Pelangai akan buat pilihan terbaik dengan memilih BN pada 7 Oktober nanti,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.