UMNO Tidak Pernah Cair Prinsip, Guna Parti Demi Agama, Bangsa Dan Negara

BENTONG, 26 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan UMNO sehingga ke hari ini  tidak pernah cair prinsipnya dalam konteks mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Menurut beliau walaupun hari ini UMNO berada bersama Kerajaan Perpaduan namun prinsipnya tidak luntur sama sekali sepertimana dakwaan sesetengah pihak dengan pelbagai tohmahan yang tidak berasas termasuklah soal sekular.

“Inilah tahyul politik yang cuba dibawa oleh Pas dan pemikiran khurafat yang menyesatkan. Kenapa? boleh atau tidak kita pinda Perlembagaan? Sebab UMNO kononnya akan ikut telunjuk Dap… katakanlah UMNO ini semuanya sudah jadi ‘bengong’ ikut telunjuk Dap… Sekiranya semua ahli Parlimen yang seramai 148 mahu pinda Perlembagaan.

“Perlu ingat… dalam kaitan hal tentang Islam dan Melayu ada dua syarat. Pertamanya kena ada 148 atau 2/3 majoriti ahli Parlimen tapi hari ini syarat pertama tidak cukup sebab Syed Saddiq dah keluar. Oklah kalau tiba-tiba Syed Saddiq tukar fikiran dan masuk balik jadi 148… boleh pinda atau tidak pinda?

“Syarat Pertama tidak cukup kena ada syarat kedua iaitu Majlis Raja-raja Melayu kena bersetuju… maknanya sembilan orang Sultan-sultan Melayu kena setuju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sembang Santai PRK Pelangai, di sini, malam tadi.

Turut serta Timbalan Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Adnan Seman serta pimpinan setempat lain.

Dr Asyraf seterusnya mengimbau bagaimana bijaksana pemimpin UMNO sebelum ini ketika menggubal Perlembagaan Negara.

“Kenapa waktu UMNO gubal perlembagaan  dulu dan cadangkan pada Lord Reid supaya beri kuasa kepada Raja-Raja Melayu antaranya hal berkaitan dengan Islam, hal berkaitan dengan Melayu, tak boleh pinda sewenang-wenangnya kena dapat persetujuan Raja-raja Melayu.

“Hari ini boleh tengok hikmah bijaksana pemimpin-pemimpin UMNO. Kalaulah semua pemimpin UMNO menang dan ‘dibeli’ dan semua ahli  parlimen PKR juga ‘dibeli’, kita masih ada sembilan orang Sultan-sultan Melayu yang akan terus pertahankan Islam dan Melayu.

“Jadi dimana dikatakan negara ini akan berubah menjadi negara sekular, sedap cakap mulut dan inilah masalah. Pakai ‘lilitan lebai’ tapi fitnah, tohmah dan menipu. Kita jangan ikut perangai macam mereka,” tambahnya.

Dr Asyraf seterusnya menegaskan apa yang diutarakan adalah berasaskan fakta.

“Kita orang yang bertamadun dan kita orang yang berakhlak. Kita bercakap berasaskan fakta. Kita parti yang tidak gunakan agama untuk kuasa tetapi kita tunggang parti untuk pastikan kuasa menjaga agama, bangsa dan negara.

“Jadi siapa pertahankan prinsip… siapa yang cairkan prinsip… siapa yang sanggup tunggang agama demi kuasa? Dalam hal ini UMNO tidak akan mungkin menggadaikan perjuangan Islam dan Melayunya. Sebab itu UMNO berada di dalam Kerajaan Perpaduan atas asas untuk jaga prinsip-prinsip perjuangan kita.

“Itu sebab kena pastikan Pelangai ini terus menyumbang satu DUN untuk kerajaan BN perpaduan di negeri Pahang. Satu undi untuk Datuk Amizar, calon nombor tiga bermakna satu undi untuk parti kita terus menjaga kepentingan Islam, Melayu, Bumiputra dan seluruh rakyat dalam Kerajaan Perpaduan di negeri Pahang,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.