Kilang Beras Negeri Sembilan Bakal Direalisasikan Menjelang Tahun 2025

SEREMBAN, 26 Sept – Kerajaan Negeri Sembilan kini sedang meneliti beberapa kawasan yang dilihat sesuai bagi pembinaan sebuah kilang memproses padi dan pengeluaran beras seperti yang dirancang sebelum ini.

Exco Kanan Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, antara kawasan yang sedang diteliti dan dilihat sesuai adalah di Jelebu, Kuala Pilah dan juga Gemas di Tampin.

Beliau berkata, kilang tersebut dijangka dibina dan dapat beroperasi selewat-lewatnya pada tahun 2025 dan dilihat sebagai satu langkah tempoh jangka masa panjang bagi memastikan bekalan beras mencukupi bagi keperluan rakyat di negeri ini pada masa akan datang.

“Perbincangan sudah dimulakan dan kertas kerja dalam proses untuk disiapkan dan saya bawa ke dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri untuk dipersetujui.

“Kami sedang teliti sekarang dan kenal pasti lokasi dan tempat yang sesuai untuk dibina, berkemungkinan di Jelebu, Kuala Pilah dan Gemas kerana ia kawasan pengeluaran padi terbesar di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.

Jalaluddin sebelum ini memberitahu, Negeri Sembilan perlu mempunyai kilang pengeluaran beras sendiri sebagai salah satu rancangan jangka masa panjang menangani isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran.

Susulan itu, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, Hisyam Yacob yang berpandangan, mengambil kira keluasan tanaman padi di negeri ini dalam sekitar hanya 1,000 sehingga 1,200 hektar, memadai kilang-kilang memproses padi dan pengeluaran beras itu diwujudkan dengan saiz dan skala yang kecil.

Sementara itu, Jalaluddin memberitahu, kerajaan negeri akan meneliti bagaimana untuk melaksanakan projek berkenaan supaya ia dapat menjadi realiti termasuk kemungkinan ia turut melibatkan pihak swasta.

“Kerajaan negeri termasuk menteri besar akan meneliti bagaimana untuk melaksanakan rancangan ini termasuk melihat kerjasama pihak swasta, kami ada menerima kertas kerja daripada pihak swasta untuk terlibat dalam program ini bagaimana keputusan akan diputuskan oleh kerajaan,” katanya. – Utusan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.