Jangan Mudah Terpengaruh Dengan Kempen Fitnah Dan Tidak Berasaskan Fakta – Dr Asyraf Wajdi

BENTONG, 26 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan pengundi agar tidak mudah terpengaruh dengan mainan sentimen serta tohmahan yang disebarkan oleh pihak pembangkang semasa tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Ujarnya, pengundi perlu berupaya menilai pihak yang berhujah berdasarkan fakta berbanding fitnah demi kelangsungan masyarakat Pelangai.

Katanya, pemimpin-pemimpin pembangkang membawa pendekatan fitnah murahan sewaktu berkempen selain tidak menggunakan fakta yang sebenar.

“Kita utamakan hujah dan fakta. Jangan kita membawa sentimen emosi sehingga sanggup memfitnah dan mencaci maki kerana budaya masyarakat di Pelangai ini adalah budaya Melayu yang sangat bersantun, tidak pernah menerima sebarang usul-usul yang boleh melanggar adab atas nama orang Melayu,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini, malam tadi.

Seterusnya kata Dr Asyraf, pemimpin UMNO berkempen secara hikmah, tertib dan tidak menggunakan sentimen serta membawa perancangan-perancangan yang baik demi memajukan sesuatu kawasan.

“Kita berkempen, berkempen secara hikmah dan secara tertib serta bawa perancangan-perancangan yang hendak dilaksanakan. Pihak lawan membawa sentimen emosional dan kebencian serta memfitnah sana sini, dengan menggunakan perkataan mencarut, memaki hamun… apa dia ni? Ini bukannya politik berakhlak, politik yang membawa semangat Islam itu sendiri.

“Kita semua sama-sama Islam dan tidak perlu menggunakan perkataan-perkataan yang buruk. Kempen paling penting kita kekalkan secara berhikmah dan jangan sesekali menggunakan perkataan-perkataan yang dianggap tidak berakhlak,” katanya lagi.

PRK DUN Pelangai adalah yang ketiga diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 berlangsung lebih 10 bulan lalu. Pada bulan lalu PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai menyaksikan kemenangan berpihak kepada calon PH daripada parti Amanah.

Berdasarkan rekod, DUN Pelangai mula dijadikan kawasan DUN pada 1986 dan sejak itu ia diwakili wakil rakyat daripada BN, dengan bekas Menteri Besar Pahang, yang pernah mewakili kawasan itu selama lapan penggal (1986-2022).

PRK DUN Pelangai diadakan selepas kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor, bulan lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan 3 Oktober sebagai hari undi awal dan 7 Oktober untuk hari pengundian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.