PRK Pelangai: Veteran UMNO Seru Pengundi Felda Pilih Calon BN, Kenang Jasa Najib Dan Tun Razak

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menyeru seluruh pengundi di Felda Kemasul, Chemomoi dan Kemahal supaya mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai ini.

Tegasnya, budi dan jasa baik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib dan Tun Razak terhadap peneroka Felda haruslah dikenang.

“Veteran UMNO merayu semua pengundi Felda Kemasul, Chemomoi dan Kemahal didalam DUN Pelangai supaya mengenang budi serta jasa baik Datuk Seri Mohd Najib terhadap peneroka Felda semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

“Begitu juga dengan jasa Tun Razak yang telah menubuhkan Felda. Hal ini dapat dilakukan dengan mengundi calon BN. Jadikanlah ianya sebagai hadiah kepada Najib yang tidak dapat bersama dalam kempen PRK ini.

“Hanya UMNO/BN yang mampu membela peneroka Felda dan meneruskan kesinambungan generasi Felda,” katanya.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong Datuk Amizar Abu Adam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Okt ini.

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Okt ini berikutan kematian Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Okt sebagai hari undi awal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.