Pilihlah Calon Untuk DUN Pelangai Dengan Pertimbangan Terbaik

BENTONG, 25 Sept – Masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai terutama pengundi yang akan membuang undi pada 7 Oktober depan diingatkan agar tidak membuat pilihan yang tidak tepat sebaliknya membuat penentuan terbaik dengan memilih calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata sepanjang tempoh kempen sudah tentu Pelangai dihujani dengan pelbagai rombongan.

.

Katanya rombongan itu termasuklah dengan diri beliau sendiri serta kawan-kawan yang lain, namun masing-masing menyatakan kepentingan dan faedah memilih calon daripada BN.

“Jangan kita buat keputusan silap sebab dengar orang luar cakap… mereka bercakap seolah-olah tidak ada yang betul dan semua pemimpin kita cakap ni pembohong.

“Lagi satu… apabila PM buka mulut mereka kata kononnya PM pembohong. Tetapi siapa yang betul ni. Takkanlah tidak ada satu perkara yang PM buat untuk kebajikan dan pembangunan negara yang bohong semua sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama pengundi di Bilik Gerakan BN Lembah Jaya, di sini, malam tadi.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu seterusnya menambah untuk diangkat menjadi pemimpin bukanlah satu perkara yang cukup mudah.

“Ingat senang ke Datuk Seri Wan Rosdy nak jadi Menteri Besar… hukum-hakam dia tidak boleh jadi MB dah sebab selepas PRU-15 hari tu kita tidak cukup kerusi bentuk kerajaan di Pahang.

“Tidak dapat ‘simple majority’ bentuk kerajaan tetapi Allah tentukan Datuk Seri  Wan Rosdy jadi MB… insan terpilih. Ingat senang semua jadi pemimpin, beban kita nak jaga orang ramai dan jaga agama. Nak jaga prinsip kita, bangsa kita dan masyarakat kita.

“Ini tidak… mereka anggap pembohong sahaja. Ingat mereka cakap tidak penipu dan pembohongkah tuan-tuan? Ini yang kadang-kadang kita silap buat penilaian. Datang kampung orang buat fitnah. Datang kampung orang buat segala perkara supaya rakyat bangkit marah kepada kepimpinan kerajaan,” ujarnya lagi.- UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.