Kempen DUN PRK Pelangai, Amizar Terima Respon Positif Dari Penduduk

BENTONG, 25 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam melihat sambutan kempen cukup positif dan berharap momentum tersebut terus meningkat.

Katanya, perjalanan kempen memperlihatkan pelbagai respon dan  ianya petanda positif serta merupakan satu singnal untuk DUN berkenaan.

“Alhamdulillah… satu respons yang sangat positif daripada pengundi dan juga penduduk-penduduk DUN Pelangai. Kita mula berkempen seawal pagi untuk turun bertemu dengan pengundi dan rakyat DUN Pelangai.

“Ketika berkempen dan bertemu pengundi banyak perkara yang dibincang antaranya sektor ekonomi anak muda yang perlu ditingkatkan iaitu pekerjaan anak muda dan juga sektor keusahawan yang perlu lagi dinaik taraf.

“Walaupun sudah ada sektor-sektor pertanian yang telah dilaksanakan di DUN Pelangai ini namun ianya boleh ditambah nilai lagi. Ini antara yang dibincangkan selain daripada perumahan dan tiga elemen yang perlu ditekankan untuk anak-anak generasi belia terutamanya di DUN Pelangai,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau seterusnya menjelaskan bagi DUN Pelangai ini terdapat tiga zon yang boleh dikategorikan.

“Di Pelangai ini terdapat tiga zon iaitu Felda, kampung tradisi dan juga zon pelbagai kaum. Kita kena ada landskap yang betul untuk merancang ekonomi di DUN Pelangai,” jelasnya.

Pada masa yang sama beliau turut berikrar untuk meneruskan legasi yang telah dirancang oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

“Paling penting adalah tambah nilai apa yang sudah ada. Sektor anak muda harus difokuskan iaitu ekonomi mereka. Ekonomi mereka yang keluar berhijrah 80 peratus dan tinggal hanya 20 peratus di sini dan inilah yang perlu dilihat dalam usaha meningkatkan ekonomi mereka termasuklah soal perumahan dan sebagainya lagi.

“Generasi yang ada di kampung dan Felda serta di kampung baharu sentiasa diperhatikan. Ini antara elemen tambahan yang perlu dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi anak muda dan pelbagai kumpulan lain,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.