UMNO/BN Akan Teruskan Momentum Kemenangan Kerajaan Perpaduan – Hang Tuah Din

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Kesinambungan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram akan terus berlaku pada PRK Pelangai, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din.

Jelasnya, apa yang berlaku pada PRK Johor baru-baru ini pengundi Pelangai harus bermuhasabah dan terus beri sokongan pada Barisan Nasional (BN) kerana parti ini mendukung Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negara ini untuk ke arah lebih maju.

“Saya percaya apa yang berlaku pada PRK di Johor baru-baru ini akan terus berlaku di Pahang untuk Pelangai dan pengundi-pengundi di kawasan ini terus beri sokongan pada BN.

“Saya seru kepada seluruh pengundi di Pelangai ini supaya kita bermuhasabah dan bawa negara ini kepada negara maju. Janganlah kita hendak berpolitik sangat kerana sekiranya pada pilihan raya ini pihak pembangkang menang pun tidak boleh bawa ke mana sebab kerajaan negeri adalah kerajaan BN/PH.

“Perkukuhkanlah kerajaan negeri Pahang ini supaya Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan seluruh exco-exco kerajaan negeri dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lebih baik untuk rakyat negeri Pahang,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Gopeng itu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka menjadi faktor yang mempengaruhi undi Melayu di Pelangai.

“Kita kena lihat perkara tersebut dan Peguam Negara telah mengambil keputusan untuk menghentikan ‘charge’ kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan diminta dihentikan tanpa dibebaskan. Ini bermaksud sekiranya ada bukti-bukti baharu ianya boleh dikemukakan atas kes yang sama. Kalau tengok kes Tan Sri Muhyiddin Yassin pun dilepas dan dibebaskan.

“Betul ianya datang dari pendakwa raya tetapi harus diingat bahawa peguam negara pun masa itu lantikan siapa? Zaman siapa lantikan itu?

“Nak kata peguam negara dan pendakwa raya berpihak kepada BN saya tak nampak perkara itu. Ini hanya mainan politik dan kita perlu akur dengan keputusan pendakwa raya dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” tegasnya.

PRK Pelangai akan diadakan pada 7 Oktober ini dan penamaan calon pada 23 September. Ianya diadakan susulan kekosongan luar jangka susulan kematian penyandang Johari Harun dalam nahas pesawat di bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

PRK itu adalah yang keempat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada November tahun lalu. PRU lalu Johari memenangi dengan majoriti 4,048 undi dalam persaingan empat penjuru. – UMNO Online

@umnoonline