Jangan Ambil Mudah, Tingkatkan Usaha Kekalkan Kemenangan Di Pelangai – Ahmad Zahid

BENTONG, 23 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan seluruh jentera parti agar tidak mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sebaliknya perlu mengambil langkah yang sewajarnya dalam usaha mengekalkan kemenangan yang dicapai sebelum ini.

Menurut beliau walaupun atas kertas jumlah majoriti yang dicapai Allahyarham Datuk Seri Johari lebih daripada 4,000 undi manakala  undi Pakatan Harapan (PH) 2,000 undi, jentera parti tidak boleh ambil mudah.

“Walaupun atas kertas, Allahyarham Datuk Seri Johari ada majoriti lebih 4,000 undi dan 2,000 lebih daripada calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, namun kita tidak boleh ambil mudah dan terlebih yakin.

“Lawan dah bermukim di sini dan menggunakan pendekatan ceramah tidak besar, jadi kita kena guna langkah luar biasa, mendekati pengundi sesuai dengan kehendak dan cita rasa pengundi DUN ini dan kita perlu mendekati semua pengundi,” katanya kepada pemberita di sini. hari ini.

Terdahulu beliau bersama Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta rakan-rakan pimpinan lain daripada BN dan Pakatan Harapan mengiringi calon BN PRK DUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam ke pusat penamaan calon, Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Zahid turut memaklumkan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan mengetuai jentera BN sebagai Pengarah PRK DUN Pelangai.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi selepas memperoleh 7,308 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat (3,260), Ahmed Wafiuddin daripada Pakatan Harapan (2,031) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengucapkan terima kasih atas sokongan rakan-rakan parti lain di dalam Kerajaan Perpaduan kepada calon BN di Pelangai.

Pada masa sama beliau turut melahirkan keyakinan Amizar untuk meneruskan legasi BN di DUN Pelangai.

“Calon kita dikenali dalam kalangan orang Pelangai dan beliau pun anak Felda (Felda Chemomoi) dan saya yakin beliau akan meneruskan khidmat Johari di sini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan keahlian Haslihelmy sebagai ahli Pemuda UMNO Bahagian Bentong gugur secara automatik selepas beliau bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Pelangai.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, Kasim (PN) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

PRK itu diadakan ekoran kematian Johari, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 7 Okt ini manakala 3 Okt sebagai tarikh pengundian awal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.