Amizar Tekad Teruskan Perancangan Allahyarham Johari

BENTONG, 23 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam bertekad untuk meneruskan segala perancangan yang telah diusahakan oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun sebelum ini demi kepentingan penduduk setempat.

Pada masa yang sama beliau turut beriltizam untuk memberi tumpuan terhadap aspek pembangunan dan lain-lain yang berkaitan di kawasan berkenaan sekaligus memberi manfaat secara menyeluruh kelak.

“Selain meneruskan segala perancangan pembangunan dan agenda yang telah diatur oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, hal-hal yang berkaitan dengan anak muda juga akan menjadi manifesto tambahan.

“Begitu juga soal-soal kebajikan dan sebagainya lagi  antara tumpuan utama yang akan diberi penekanan kelak sekiranya pengundi mengekalkan kepercayaan kepada BN,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, program pembangunan serta pelbagai peluang kelak mampu memberi manfaat kepada anak-anak muda dan pelbagai peringkat kumpulan lain.

“Saya nak fokus pada anak muda, saya kira banyak program pembangunan, aktiviti dan peluang yang boleh kita sediakan untuk memperkasakan golongan belia di kawasan ini,” tambahnya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar dengan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.