Pengguna Harap Jualan Rahmah Diadakan Lebih Kerap

TANAH MERAH, 22 Sept – Rata-rata pengguna meminta kerajaan supaya mengadakan Program Jualan Rahmah secara kerap, kerana program itu memberi peluang untuk mereka membeli barangan keperluan asas pada harga yang murah.

Penoreh getah Husin Deraman, 70, turut berharap program jualan diadakan di kawasan kampung, memandangkan kebanyakan penduduk kawasan itu tidak mempunyai pendapatan tetap, malah mereka turut menerima tempias kenaikan harga barang.

“Saya bekerja sebagai penoreh getah dan mempunyai seorang anak di tingkatan empat amat terasa dengan kenaikan harga barang, malah sekarang pendapatan tidak menentu kerana tidak boleh menoreh disebabkan faktor cuaca tidak menentu,” katanya ketika ditemui Bernama pada Program Jualan Rahmah di Perkarangan Pasar Awam Kampung Gual Ipoh, di sini hari ini.

Bagi suri rumah Suhaila Abullah, 38, program itu membantunya mendapatkan barangan keperluan asas seperti beras dan telur, pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

“Saya dapat jimat RM6 jika beli beras 10 kilogram (kg) pada program ini berbanding harga jualan biasa. Jika saya belanja RM100 hari ini, saya boleh jimat RM15 berbanding pembelian pada hari-hari biasa.

“Kami berharap program ini dapat diteruskan di kawasan kampung, kerana untuk keluar ke kawasan bandar akan ada kos lain seperti tambang kenderaan dan minyak kereta,” katanya yang tinggal di Kuala Tiga.

Sementara itu, Pengurus Tiga Ku Empire Mohd Hazli Che Ghazali berkata antara barangan keperluan yang menjadi tumpuan pengguna ialah beras, gula, minyak masak dan telur.

“Hari ini kami dipertanggungjawab untuk menyediakan 750 peket beras, 80 berkas (1,920kg) gula, dan 1,700kg minyak masak serta barangan keperluan lain kepada pengguna.

“Orang ramai mula beratur panjang sejak 7 pagi, walaupun program ini hanya bermula pada 8.30 pagi,” katanya.

Tinjauan Bernama pada program jualan itu mendapati, barangan dijual pada harga lebih murah antaranya beras import 10kg dijual pada harga RM34 berbanding harga asal RM40 dan ayam 1kg RM6.90 berbanding harga asal RM8.20. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.