Wan Rosdy Seru Pendukung BN-PH Bantu Amizar Di Pelangai

KUALA LUMPUR 21 Sept – Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru keseluruhan kepimpinan, jentera dan ahli parti termasuk Pakatan Harapan (PH) untuk membantu calon, Datuk Amizar Abu Adam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Katanya, ini penting bagi mengekalkan kerusi BN di DUN tersebut sekaligus memperkukuh kekuatan Kerajaan Perpaduan di Pahang.

“Alhamdulillah, Amizar telah diumumkan sebagai calon BN bagi PRK N.36 DUN Pelangai yang diadakan pada semalam.

“Saya mengajak seluruh kepimpinan serta ahli BN serta PH untuk terus bersatu hati, bekerja dengan penuh semangat berpasukan sebagai orang parti bagi memastikan calon kita beroleh kemenangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau dalam pada itu menyeru pengundi di Pelangai untuk sekali lagi memberi kepercayaan kepada BN bagi meneruskan politik khidmat bakti seperti mana dilakukan penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

“Saya juga mengajak seluruh pengundi di DUN Pelangai untuk terus memberi sokongan dan kepercayaan kepada Amizar bagi memastikan BN kekal di DUN Pelangai bagi meneruskan perkhidmatan kepada rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” ujar beliau.

Terdahulu, Wan Rosdy ketika membuat pengumuman calon pada semalam berkata pemilihan Amizar, dibuat selepas perbincangan dan persetujuan bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Amizar, 50, yang juga Pengerusi Kami Anak Felda (KAF) Wilayah Mempaga berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan dan Kepimpinan Strategik Universiti Sains Malaysia (USM).

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Okt ini berikutan kematian Johari, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Okt sebagai hari undi awal.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahmad. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.