Tok Mat Seru Jentera Bermuafakat, Kekalkan Rekod Cemerlang BN Di Pelangai

 

BENTONG, 21 Sept – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru semua jentera berusaha keras bagi memastikan rekod kecemerlangan menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai selama sembilan penggal kekal milik BN.

Kata Timbalan Presiden UMNO itu, selain bekerja keras, asas utama bagi mempertahankan DUN Pelangai sebagai kubu kuat adalah dengan mengekalkan semangat bermuafakat dan ketepikan segala persengketaan.

“Jangan kita ada sengketa, berselisih dan bercanggah-canggah. Bak kata adat ‘sengketa punca celaka, muafakat punca selamat’. Maka selamat itulah yang hendak kita cari, muafakat itu yang perlu kita adakan.

“Agar kita tak kecundang, tak diejek dek orang, jaga maruah kita dan maruah pengundi yang telah lama berjasa memberikan kemenangan kepada BN selama sembilan penggal di kawasan ini.

“Jadi jangan kita pecahkan rekod…pertahankan, kekalkan rekod kecemerlangan di DUN Pelangai ini agar terus menjadi kubu kuat BN di dalam negeri Pahang ini,” katanya dalam ucapan di majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai di Dataran Pelangai di sini, Rabu petang.

Hadir sama Pengerusi BN Pahang yang juga Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kepimpinan parti komponen BN dan rakan parti dari Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat, negeri dan jentera tempatan.

Dalam ucapannya, Mohamad mengumpamakan PRK seperti medan pertempuran kecil sebagai persiapan bagi menghadapi yang lebih besar iaitu Pilihan Raya Umum (PRU).

“Ini medan pertempuran. Pertempuran kecil ini mesti kita menang kerana dengan menang tempur-tempur kecil ini kita akan merasa amat yakin bahawa peperangan besar yang akan kita hadapi pada PRU Ke-16 nanti telah bersiap sedia.

“…dan mempunyai keyakinan yang tinggi untuk menghadapi musuh yang sudah pasti amat terkilan setelah mereka tidak dapat menduduki Putrajaya selepas PRU Ke-15. Ini mesti kita tanam dalam diri kita. Kita bertempur di Pulai…menang… di Simpang Jeram…menang, sekarang ini kita bertempur pula di Pelangai,” ujar Menteri Pertahanan itu lagi.

Justeru, Mohamad menyeru semua jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) agar berganding bahu dan bekerjasama bagi memastikan kemenangan menjadi milik BN.

Sebagai rekod, pada PRU Ke-15 lalu, BN melalui wakilnya Datuk Seri Johari Harun menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahamd.

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Okt ini berikutan kematian Johari, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Okt sebagai hari undi awal.

Sebelum Johari, DUN Pelangai disandang oleh bekas Menteri Besar Pahang Tan Sri Adnan Yaakob. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.