PRK Pelangai: Kerjasama BN-PH Pahang Makin Kukuh, Lokman Yakin Calon BN Akan Dipilih Semula

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam yakin bahawa calon daripada Barisan Nasional (BN) akan dipilih semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai.

Ini kerana katanya, beliau yakin rakyat Pahang dijaga dengan baik di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kerjasama antara BN-Pakatan Harapan (PH) di negeri tersebut semakin kukuh.

“Mereka (Perikatan Nasional) nak rampas kuasa apa? Kita tahulah di Pahang ini dari segi jumlah, tidak ada banyak beza. Tetapi, saya yakin bahawa rakyat di negeri Pahang lebih-lebih lagi di bawah pemerintahan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, beliau jaga orang Pahang dengan baik… dan Allahyarham Datuk Johari pun jaga orang Pelangai dengan baik.

“Insya-Allah, saya yakin orang Pelangai ini tidak akan ‘buat perangai’. Mereka akan pastikan calon daripada BN akan dipilih semula sebagai ADUN Pelangai.

“Kita tengok dahulu semasa Datuk Seri Najib teruk beliau kena tahun 2018, Pahang masih okay lagi. Cuma gelombang pada tahun 2022, Pahang ada sedikit terjejas. Tetapi, selepas kita bekerjasama dengan rakan-rakan PH di Pahang saya rasa kedudukan kita semakin baik, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran video di laman Twitternya.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa UMNO perlu tetap meneruskan perjuangan yang sedia ada dalam mengangkat kedudukan Islam, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan raja-raja Melayu.

“UMNO kena teruskan perjuangan yang sedia ada. Kita masih lagi sebuah parti yang menjaga kepentingan Melayu. UMNO ialah sebuah parti yang telah mengangkat Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan raja-raja dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Tetapi, Insya-Allah. Kalau dahulu kita turun kat bawah rata-rata tidak boleh terima kerjasama dengan PH ini terutamanya dengan Dap. Sekarang semakin hari semakin baik. So, moving forward Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 saya nampak keputusan pilihan raya jumlah undi orang Melayu yang kita akan perolehi juga akan semakin baik.

“Datuk Seri Wan Rosdy telah pun melakukan penjelasan bertubi-tubi, berulang kali kepada jentera-jentera BN khususnya di negeri Pahang. Jadi, saya yakinlah bahawa ia akhirnya akan membuahkan keyakinan kepada orang Melayu bahawa kerajaan ini Insya-Allah kepentingan Melayu, Islam, Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu tidak akan tergadai di bawah kerajaan ini,” katanya lagi.

Pada Rabu media melaporkan bahawa Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Okt ini.

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Okt ini berikutan kematian Johari, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Okt sebagai hari undi awal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.