PRK DUN Pelangai: BN Umum Calon, Lancar Jentera Parti Hari Ini

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon bertanding bagi mempertahankan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai hari ini.

Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan berkaitan hal terbabit menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

“Barisan Nasional akan mengadakan Majlis Pelancaran Jentera dan Majlis Pengumuman Calon bagi PRK N.36 DUN Pelangai, pada hari ini.

“Semoga majlis ini dapat berjalan dengan lancar dan teratur terutamanya dalam memastikan kerusi DUN Pelangai ini terus kekal menjadi milik BN.

“Saya berharap penduduk di DUN Pelangai terus dapat memberi kepercayaan kepada BN seperti mana sebelum ini agar kami dapat teruskan perkhidmatan demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama. Insya-Allah,” katanya.

Dijadualkan pengumuman calon tersebut akan berlangsung pada pukul 8.00 malam di Dewan Majlis Perbandaran Bentong sementara pelancaran jentera akan dilaksana pada pukul 2.30 petang di Dataran Simpang Pelangai, Bentong.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober depan sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Pelangai sementara tarikh bagi hari penamaan calon ditetapkan pada 23 September. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.