MOF Sedang Teliti Maklum Balas, Cadangan Berkaitan Belanjawan 2024

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Kementerian Kewangan (MOF) sedang meneliti kesemua cadangan baharu dan penambahbaikan daripada segenap pihak untuk dimuktamadkan seterusnya dimasukkan Belanjawan 2024 yang dijadual dibentangkan pada 13 Okt, 2023.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata MOF telah menerima maklum balas dan cadangan termasuk daripada pihak kementerian, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu melalui laman web MOF.

“Kementerian lain juga telah menjalankan sesi libat urus masing-masing. Pegawai kita juga telah pergi bertemu dengan semua kementerian dan kerajaan negeri untuk memperoleh maklum balas bagi Belanjawan 2024.

“Pihak kementerian (MOF) kini sedang memproses segala maklum balas dan permohonan termasuk permohonan berkaitan pembangunan bagi Belanjawan 2024 daripada semua pihak,” katanya kepada Bernama selepas sesi libat urus Belanjawan 2024 bersama kepimpinan Wanita UMNO dan NGO di sini, pada Rabu.

Beliau berkata Belanjawan 2024 akan turut memberikan penekanan terhadap usaha menambah baik sistem penyaluran insentif kerajaan bagi memastikan setiap intensif sampai dan dapat dinikmati oleh golongan sasar.

“Kerajaan telah banyak melaksanakan program dan inisiatif di peringkat pusat untuk golongan sasar, namun jumlah golongan sasar yang menerima faedah daripada program dan inisiatif ini tidak mencapai sasaran. Ini yang akan kita kaji puncanya dan tambah baik,” katanya.

Ahmad berkata MoF juga menerima maklum balas bagi cadangan penambahbaikan dasar kerajaan sedia ada seperti dasar gaji minimum dengan terdapat beberapa syarikat dan perusahaan yang menyatakan ketidakmampuan mereka untuk memenuhi tahap gaji minimum yang telah ditetapkan.

Pada Ogos, Ahmad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan barisan Jemaah Menteri untuk mengadakan sesi libat urus Belanjawan 2024 selama sebulan bermula pertengahan Ogos ini sehingga September.

“Perdana Menteri telah mengarahkan supaya semua menteri dan timbalan menteri di setiap kementerian untuk mengadakan sesi libat urus di bawah kapasiti masing-masing untuk mengetahui apa yang diperlukan di peringkat kementerian bagi menambah baik bantuan kepada rakyat dan pembangunan negara,” katanya.

Belanjawan 2024 dijangka terus memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat, bantuan diteruskan serta ditambah baik, begitu juga pembangunan prasarana negara.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.