PRK DUN Pelangai: Fadzli Saran Pengundi Buat Pilihan Yang Tepat
KUALA LUMPUR, 19 Sept – Para pengundi disaran untuk membuat pilihan yang tepat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dengan memilih parti yang mempunyai ‘track record’ yang baik, kata Ketua Penerangan UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
Menurut beliau, hakikat rekod perkhidmatan yang dibawa oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun di DUN ini sememangnya disenangi dan disayangi oleh pelbagai masyarakat di sini.
“Saya optimis bahawa pengundi-pengundi di Pelangai akan memilih UMNO/BN berdasarkan ‘track record’ yang baik iaitu wakil rakyat (UMNO) sebelum ini khususnya Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang sememangnya ‘very focus’ tentang pembangunan di Pelangai dan ianya cukup disayangi oleh semua masyarakat.
“Kita harap momentum kemenangan pada PRK Pulai dan Simpang Jeram dapat dibawa ke Pelangai tetapi tidak boleh berada di zon selesa kerana sentimen rakyat Pelangai berbeza dan UMNO/BN perlu berkerja kuat bagi memastikan kemenangan ini.
“Saya lihat jentera UMNO/BN Pahang sudah siap siaga untuk berhadapan PRK Pelangai dan ini adalah ujian yang besar di Pahang ini dan semua pihak khususnya jentera-jentera menggembleng tenaga bersama-sama demi memastikan kemenangan tersebut,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong itu kepada UMNO Online, di sini.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang seterusnya menambah Penerangan UMNO Negeri Pahang akan terus melakukan persiapan rapi serta mendapatkan sentimen dari rakyat Pelangai.
“Kita sedang melakukan persiapan rapi dan telah berada di DUN Pelangai baru-baru ini serta tengah mendapatkan sentimen rakyat di Pelangai menjelang penamaan calon pada 23 September (Sabtu) ini.
“Penerangan UMNO Negeri Pahang telah menyusun gerak kerja dan sekarang ini tengah menunggu ‘direction’ dari Penerangan UMNO Pusat untuk melaksanakan gerak kerja yang perlu dilakukan,” katanya lagi.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke15 (PRU-15), Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan dua yang lain.
Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi DUN Pelangai pada 7 Oktober ini dan tarikh penamaan calon pada 23 September manakala bagi pengundian awal 3 Oktober. – UMNO Online