Kerjasama Malaysia-China Akan Lonjak Industri Getah Negara

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Industri getah negara diunjurkan melonjak pada tahun-tahun akan datang susulan jalinan kerjasama dengan China yang semakin kukuh dalam bidang komoditi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada Ahad lepas membuka peluang kepada peningkatan kerjasama dalam bidang komoditi dan industri berasaskan pertanian termasuk getah, minyak sawit, biodiesel, dan akses kemasukan produk pertanian Malaysia ke pasaran China.

Beliau berkata justeru, Kementerian Perladangan dan Komoditi juga merancang untuk mengadakan misi ke negara itu bagi membincangkan kerjasama dalam bidang yang boleh dikembangkan.

“Kalau dilihat dari segi getah, kita boleh mengetengahkan produk yang kita hasilkan, yang digunakan dalam bidang pembinaan iaitu produk yang dapat memastikan bangunan yang dibina tahan daripada gegaran gempa bumi misalnya,” katanya selepas merasmikan Hari Teknologi Lembaga Getah Malaysia (LGM) 2023 di sini, pada Isnin.

Mengulas mengenai produk inovasi getah itu, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata LGM bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) untuk menghasilkan teknologi padu berasaskan produk galas getah seismik bagi menangani pergerakan struktur disebabkan perubahan suhu, atau perlindungan daripada gegaran akibat gempa bumi.

Beliau berkata antara struktur di Malaysia yang dibina menggunakan galas getah seismik ialah Jambatan Kedua Pulau Pinang, bangunan Akademi Hevea Malaysia Langkawi serta bangunan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Lahad Datu, Sabah.

LGM dan TARRC turut menjayakan penyelidikan yang dinamakan NaturalFR.
Produk getah yang dihasilkan menggunakan sebatian NaturalFR mempunyai sifat kalis api, rendah asap dan rendah toksik, dan telah digunakan untuk menghasilkan produk kalis api di pintu masuk beberapa stesen kereta api di United Kingdom.

Pada majlis yang sama, Fadillah turut menyaksikan sesi pertukaran dokumen iaitu Memorandum Perjanjian (MoA) antara LGM dengan Jupiter Solution, Natrab MFBI Enterprise dan Majlis Getah Malaysia (MRC) serta Perjanjian Kerjasama Pengkomersialan antara LGM dengan Majlis Getah Malaysia bagi mempromosikan inovasi LGM di dalam dan luar negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.