Melaka Giat Promosi TMM 2024, Usaha Tarik Pelancong Asing

MELAKA, 17 Sept – Kerajaan Melaka sedang giat mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) di luar negara khususnya negara jiran, kata Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Beliau berkata promosi akan dilaksanakan di Indonesia, Brunei dan Kemboja pada minggu hadapan dengan kerjasama ejen pelancongan di negara terbabit.

“Promosi pelancongan itu dibahagikan kepada tiga kumpulan membabitkan pelbagai agensi pelancongan termasuk Bahagian Promosi Pelancongan Melaka dengan kaedah membuka reruai pameran dan jualan tiket atau pakej pelancongan yang telah dirangka sempena TMM 2024,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis perasmian Festival Layang-Layang Gergasi Melaka 2023 oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang turut dihadiri Pengerusi Pengelola Festival Layang-Layang Gergasi Melaka 2023 Chiu Chee Ming.

Festival dua hari bermula semalam itu menyaksikan lebih 100 layang-layang gergasi dinaikkan melibatkan penyertaan 60 pelayang dari dalam dan luar negara antaranya China dan Singapura.

Dalam perkembangan lain, Abdul Razak berkata panganjuran festival layang-layang gergasi berkenaan akan ditambah baik pada tahun hadapan dengan menyasarkan penyertaan lebih 100 pelayang termasuk dari luar negara.

Beliau berkata tempoh penganjuran juga akan dilanjutkan kepada tiga hari berbanding dua hari pada tahun ini manakala lokasi penganjuran akan dikaji semula bagi melihat kesesuaian dan pandangan daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Sementara itu, Chiu berkata antara tarikan festival kali ini ialah layang-layang ‘Jalur Gemilang’ gergasi berukuran 6 meter x 10 meter yang dinaikkan sempena sambutan Hari Malaysia.

Beliau berkata layang-layang Jalur Gemilang berkenaan adalah terbesar di Malaysia yang dihasilkan oleh kumpulan pelayang dari Melaka pada 2017.

“Layang-layang Jalur Gemilang gergasi ini kita jarang naikkan pada program seumpama ini kerana ia sangat besar dan bukan mudah untuk dinaikkan kerana bukan sahaja memerlukan ruang yang besar tetapi tenaga pelayang yang ramai,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan membantu kerajaan Melaka menarik penyertaan lebih 100 pelayang antarabangsa termasuk dari India, Taiwan, Indonesia dan Thailand pada tahun hadapan dengan pelbagai bentuk dan jenis layang-layang yang lebih menarik. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.