Pengasingan Kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya Perlu Kajian Meluas – Dr Shamrahayu

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Pakar Perundangan Perlembagaan Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata pengasingan kuasa di antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya memerlukan kajian lebih luas.

Kata Dr Shamrahayu, jika pengasingan berlaku mekanisme tertentu perlu dilakukan bagi memastikan pengasingan kuasa tersebut tidak memberikan kelompongan.

“Saya setuju dengan pengasingan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya. Tetapkan kuasa Peguam Negara hanya untuk menasihati dan pendakwa raya untuk membuat pertuduhan.

“… tetapi selepas ini siapa hendak mengawal pendakwa raya? Back to square one, hendak memberi budi bicara penuh atau tidak untuk mendakwa? Kalau bagi budi bicara penuh mesti ada mekanisme untuk mengasingkan sebab dia tidak berhenti di situ

“Contohnya siapa calon-calon yang ada sekarang siapa hendak dilantik jadi pendakwa raya? Masa lantik orang itu mungkin bagus, selepas itu kita tidak tahu macam mana hendak kawal dia,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ada diskusi Isu-isu Penerangan Semasa yang diadakan hari ini di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) Kuala Lumpur. Turut menjadi panel adalah Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya lagi, penyelidikan sewajarnya perlu dilakukan dengan melihat konteks pengasingan kuasa dilakukan di luar negara.

Jelas beliau ini kerana, ada juga negara yang mengamalkan konsep pengasingan secara sebahagian dan juga pengasingan total.

“Pada pandangan saya ada pilihan sama ada untuk mengasingkan atau memulangkan balik Perlembagaan ini kepada versi asal ianya dibuat.

“Kalau versi asal perlu ada tambah baik, tapi jika memilih untuk memisahkan Peguam Negara dan pendakwa raya mengikut amalan lain.

“Kalau di United Kingdom tidaklah sepenuhnya terpisah, Amerika Syarikat proses pelantikan, India sepenuhnya terpisah. Jadi kita kena kaji cara bagaimana negara ini mengambil perhatian tentang pelantikan kuasa dan juga pemecatan,” katanya.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen kerajaan mewakili Pakatan Harapan meminta kerajaan mempercepatkan usaha pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan perundangan negara.

Dalam pada itu Dr Shamrahayu juga turut menyentuh berkenaan pelantikan Peguam Negara.

Menurut beliau, Peguam Negara yang dilantik perlu dalam kalangan inidividu yang pengalaman luas dalam undang-undang serta serba boleh untuk menasihati kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Katanya, kedua-dua elemen itu merupakan personaliti penting perlu dimiliki Peguam Negara.

“Peguam negara perlu mempunyai penuh kelayakan. Jangan orang yang beramal dengan sivil praktis sahaja, sepatutnya orang yang serba boleh.

“Boleh buat sivil maknanya boleh menasihati kerajaan dengan telus serta benar buah fikiran undang-undang. Keduanya boleh menasihati YDPA.

“Ini pun boleh menjadi satu masalah, kadang-kadang Peguam Negara tidak mampu untuk menasihati kedua-duanya dan tidak mampu untuk syncronise pendapatnya pada perspektif YDPA dan kerajaan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.