Bantuan RM4.068 Juta Untuk Penjaja, Penghantar Makanan, Pemandu Teksi, Belia Pahang

BENTONG, 14 Sept – Kerajaan Pahang hari ini, menyalurkan Bantuan Prihatian Pahang (BPP) berjumlah RM4.068 juta bagi kluster penjaja harian, penghantar makanan, pemandu teksi dan belia, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata pengagihan bantuan itu kepada 20,345 penerima yang layak bermula hari ini dengan jangkaan selesai selewat-lewatnya pada November ini.

Menerusi bantuan itu, seramai 10,816 penjaja harian; 5,000 penghantar makanan dan 929 pemandu teksi masing-masing akan menerima RM200.

Jumlah sama juga diberikan kepada 3,600 belia berusia 18 hingga 21 tahun menerusi program subsidi MyLesen Prihatin Pahang.

“Semua bantuan ini dapat disediakan kerana kita mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan apa yang telah kerajaan negeri berikan, akan diteruskan pada masa depan untuk membantu rakyat,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa melancarkan BPP 2023 Kluster Pemandu Teksi, Penjaja Harian, Food Rider dan Mylesen Prihatin Pahang di Dewan Orang Ramai Agropolitan Felda Chemomoi di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata setakat ini, kerajaan negeri telah berjaya mengutip hasil lebih RM870 juta dan beliau optimis sasaran RM1.083 bilion yang ditetapkan pada tahun ini dapat dicapai.

Beliau juga memberi jaminan, jumlah bantuan kepada rakyat akan ditambah jika kedudukan kewangan kerajaaan negeri semakin meningkat seperti bantuan mahasiswa Pahang yang telah diumumkan bertambah daripada RM300 menjadi RM400 pada tahun depan.

Selain BPP, kerajaan Pahang juga mengagihkan bantuan menerusi program Kebanggaan Pahang atau ‘Pahang Pride’ antaranya melibatkan golongan bayi, warga emas, pelajar, Orang Asli dan atlet negeri ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.