Gempa Bumi: Agong, Raja Permaisuri Zahir Takziah Kepada Raja, Kerajaan Dan Rakyat Maghribi

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada Raja Mohammed VI serta kerajaan dan rakyat Maghribi, susulan gempa bumi yang melanda negara itu, Jumaat lepas.

Turut menzahirkan ucapan takziah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut hantaran Facebook Istana Negara Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah, turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dalam bencana itu.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan ribuan nyawa dalam tragedi tersebut, serta menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini,” menurut hantaran itu, hari ini.

Baginda berdua turut mendoakan agar roh-roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh.

“Dalam tempoh kesedihan ini, Seri Paduka berdua dan Malaysia bersolidariti dengan rakyat Maghribi dan mendoakan agar mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan akibat tragedi itu, dapat diselamatkan dengan segera serta mereka yang tercedera dikurniakan kesembuhan segera,” menurut hantaran itu.

Dilaporkan, sehingga kini seramai 2,862 orang terkorban dan lebih 2,500 orang cedera dalam tragedi itu. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.