Kesiapsiagaan Jentera Pastikan UMNO Pertahan DUN Pelangai – Wan Rosdy

BENTONG, 11 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yakin bahawa kesiapsiagaan jentera amat penting untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Terdahulu beliau telah bersama-sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Pahang serta UMNO Bahagian Bentong dalam Retreat Kesiapsiagaan Jentera Pilihan Raya Kecil N36 Pelangai, pada Sabtu.

“Retreat ini cukup penting bagi memastikan UMNO akan terus dapat mempertahankan kerusi DUN Pelangai selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos 2023 yang lalu. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat,” katanya dalam hantaran melalui laman Facebooknya.

Allahyarham Johari juga adalah EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi berkenaan pada PRU15 tahun lalu.

Pada pilihan raya itu, Allahyarham menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat; Ahmed Wafiuddin Shamsuri (Pakatan Harapan) dan Isa Ahmad (PEJUANG) dengan majoriti 4,048 undi dalam saingan empat penjuru.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 3 Oktober ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Berdasarkan statistik dikongsikan SPR, pemilih bagi DUN Pelangai merangkumi 8,254 lelaki dan 8,202 wanita dengan pengundi muda berusia antara 18 hingga 29 tahun adalah seramai 3,728 orang.

PRK DUN Pelangai adalah PRK yang keempat diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas PRK Kuala Terengganu, Pulai dan Simpang Jeram. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.