BN Tidak Ambil Mudah PRK Pelangai, Enam Nama Diserah Kepada Pucuk Pimpinan – Wan Rosdy

KUANTAN, 11 Sept – Barisan Nasional (BN) Pahang tidak mengambil mudah cabaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai walaupun mereka kekal mempertahankan kerusi itu sejak dahulu, kata Pengerusinya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Dalam keadaan bagaimana sekalipun, kita kena dan akan terus bekerja kuat… tidak boleh ambil mudah,” katanya semasa ditemui selepas melancarkan buku bertajuk ‘Budi Pujangga’ dan Kelab Pendidikan Muzium Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist (P) di sini hari ini.

Selain itu, Wan Rosdy berkata berdasarkan program pemukiman di Janda Baik, Bentong baru-baru ini, pimpinan parti setuju menyerahkan pemilihan calon kepada pucuk pimpinan dengan enam nama berpotensi telah diserahkan untuk pertimbangan, sebelum diumumkan dua atau tiga hari menjelang hari penamaan calon.

DUN Pelangai adalah kerusi bekas Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob sejak 1986 dan selepas beliau mengumumkan bersara daripada politik pada tahun lepas, kerusi itu ditandingi oleh Datuk Seri Johari Harun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Johari, 53, antara 10 yang maut dalam kejadian pesawat terhempas di bandar Elmina, Shah Alam di Selangor pada 17 Ogos lepas dan sehubungan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Pelangai diadakan pada 7 Okt ini, dengan 23 Sept sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal berlangsung pada 3 Okt ini.

Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri yang memperoleh 2,031 undi manakala calon Pejuang Isa Ahmad hilang deposit selepas hanya mendapat 64 undi.

Ditanya mengenai kerjasama BN dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRK Pelangai, Wan Rosdy optimis mereka akan mendapat sokongan baik daripada PH mengambil kira semangat Kerajaan Perpaduan.

“Kerjasama dengan PH Pahang juga telah wujud sejak PRU15 bagi kerusi DUN Tioman sebelum ini,” katanya.

Pada PRU15, pengundian bagi DUN Tioman tidak dapat berlangsung pada hari pengundian 19 Nov 2022 berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli pada awal pagi sama, menyebabkan ia ditetapkan semula pada 7 Dis tahun sama.

PH semasa itu, memutuskan memberi laluan kepada calon BN mengambil kira kesepakatan antara kedua-dua parti untuk menubuhkan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit