Negeri Sembilan Perlu Ada Kilang Pengeluaran Beras Sendiri – Exco

SEREMBAN, 10 Sept – Terdapat keperluan mewujudkan kilang pengeluaran beras sendiri di Negeri Sembilan bagi menangani isu kekurangan bekalan beras tempatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau berkata pada masa sama, usaha terhadap penanaman padi di Kuala Pilah, Jelebu, Jempol dan Gemas juga perlu digiatkan.

“Saya sudah minta supaya mengadakan program keterjaminan makanan terutamanya beras, barangan keperluan asas lain seperti gula, minyak masak dan sebagainya yang mempunyai perancangan masa panjang bagi tempoh dua hingga lima tahun.

“Kita perlu ada stok makanan mencukupi, susulan itu kerajaan negeri melihat perlu ada kilang mengeluarkan beras bagi menampung keperluan rakyat di negeri ini dengan harga yang berpatutan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Jelajah Fit Malaysia 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Jalaluddin berkata pihaknya akan membentangkan rancangan induk berkaitan program keselamatan makanan di negeri ini dengan melibatkan jabatan dan agensi berkaitan sebagai tindakan awal menghadapi isu bekalan makanan.

Katanya perancangan tersebut melibatkan berkaitan makanan asas seperti minyak, gula, tepung, daging dan ayam serta pemulihan tanah terbiar dan kawasan pertanian yang memerlukan suntikan dana kerajaan negeri.

Beliau berkata perkara itu juga adalah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan kepada ketua jabatan di bawah seliaannya yang perlu dicapai.

“Saya tidak mahu mendengar rungutan rakyat mengenai kekurangan bekalan, harga melampau atau kualiti bekalan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.