Majlis Daerah Tanjong Malim Perkenal ‘Muallim Speed-Lane’ Bagi Melancarkan Proses Dokumentasi

TANJUNG MALIM, 7 Sept – Kerajaan negeri Perak akan terus memberi fokus kepada pelaburan global selepas pelancaran ‘Muallim Speed-Lane’ (M-SL), ia sebagai persediaan menjadikan daerah Muallim sebagai pemain penting dalam sektor automotif antarabangsa, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

M-SL adalah projek kelulusan pembinaan secara pantas hasil inisiatif Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM).

Saarani berkata selain daripada memastikan proses kelulusan berjalan lancar, inisiatif itu turut tertumpu kepada pembangunan Automative Hi-Tech Valley (AHTV) di Proton City.

“MDTM memperkenalkan kaedah pengeluaran permit Pembinaan Secara Pantas bagi membolehkan interaksi berkesan antara pelabur atau pemilik projek dengan MDTM supaya kerja-kerja pembinaan dalam sesuatu projek yang dilaksanakan mengikut garis masa ditetapkan.

“M-SL juga merupakan salah satu kaedah ‘Ease of Doing Business’ yang dijangka mampu memendekkan tempoh masa memproses dokumentasi daripada peringkat permohonan Kebenaran Merancang hingga peringkat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) termasuk lesen perniagaan untuk menjalankan operasi, ” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran M-SL: Projek Pembinaan Pantas di MDTM dekat sini hari ini.

Terdahulu, Saarani menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 siri 8.

Beliau berkata sasaran proses M-SL akan dipantau sepenuhnya oleh Unit My-Mudah MDTM dan ia melibatkan fasiliti awalan.

“Permohonan pelan pemajuan dicadangkan mengambil masa kurang 30 hari untuk kelulusan dan kerja awal di tapak boleh dilaksanakan manakala pemberian CCC dan lesen operasi mengambil masa 24 jam untuk diproses.

“Unit My-Mudah ini dianggotai agensi dalam MDTM dan agensi teknikal luar, antaranya ialah Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan beberapa lagi agensi lain bagi memantau projek pembangunan di bawah M-SL, ” katanya.

Sementara itu, mengenai Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak, Saarani berkata lebih 891 daripada 989 aduan rakyat berjaya diselesaikan dalam lapan siri penganjuran program tersebut.

Selain itu, sebanyak 97 aduan lagi masih dalam tindakan dan pemerhatian agensi terlibat berikutan aduan berkenaan bersifat kompleks dan mengambil masa kerana melibatkan permohonan tanah.

Bagi penganjuran siri ke-8 kali ini, sebanyak 132 aduan diterima menerusi 69 kaunter khidmat pelanggan yang dibuka dan turut disertai barisan exco dan ketua jabatan.

Penganjuran program berkenaan di daerah Muallim itu adalah kesinambungan khidmat kepada rakyat oleh kerajaan negeri selepas program yang serupa diadakan di daerah Hulu Perak sebelum ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.