Nazri Abdul Rahman Mahu Perkasa Program Kebajikan Sedia Ada Di Simpang Jeram

MUAR, 6 Sept – Meskipun tiada manifesto khusus diumumkan untuk pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, calon Pakatan Harapan (PH) Nazri Abdul Rahman berkata perjuangan yang dilakukan oleh penyandang kerusi itu, sebelum ini akan diteruskan.

Nazri berkata beliau yakin apa yang telah ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai satu legasi yang perlu diperkasakan, terutamanya berkaitan kebajikan rakyat yang dilihat amat bersesuaian dengan penduduk termasuk 40,379 pengundi berdaftar di kawasan itu.

 

Katanya, ia termasuklah program yang dilakukan selama ini seperti ziarah peduli tahlil arwah, sumbangan pek makanan Rahmah, sumbangan perbekalan keperluan komuniti, bantuan asnaf dan fakir miskin, sumbangan katil pesakit dan bantuan persekolahan.

“Kita buat manifesto, bolehkah kita capai manifesto itu, sesuaikah dengan kehendak setempat, itu penting. Kalau hanya cakap, akhirnya kita tak capai dan menghampakan hati penduduk yang mengharap sesuatu yang tidak pasti.

“Saya sebagai calon apa yang saya boleh capai, apa kehendak rakyat setempat itu lebih penting berbanding kita menguar-uarkan benda yang kita tak pasti,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menyertai aktiviti riadah bersama komuniti Cina di Taman Indah di sini hari ini.

Menafikan menjual nama Allayarham Salahuddin sepanjang berkempen bagi meraih undi simpati, Nazri yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri berkata sebagai pegawai khas kepada Salahuddin selama dua penggal, beliau lebih tahu apa yang dihasratkan oleh Allahyarham selama ini.

“Hasrat Datuk Seri lebih kepada menyantuni rakyat, beliau tidak mahu penduduk di Simpang Jeram, ini ada yang tak makan, tak bersekolah, kemudahan rawatan tak dapat dipenuhi, sebab itu inisiatif Rahmah di sini membantu banyak pihak termasuk pelajar dan pesakit yang memerlukan bantuan,” katanya.

Nazri berkata beliau pada masa sama mahu isu berkaitan banjir kilat dan sistem perparitan, selain isu perumahan, kemudahan sukan dan latihan pekerjaan bagi anak muda turut akan menjadi fokusnya selepas ini jika dipilih menjadi akil rakyat.

Sehubungan itu beliau berkata walaupun lawannya daripada PN Dr Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas S Jeganathan mengumumkan manifesto masing-masing, namun beliau sedikit pun tak terkesan atau khuatir, konon-kononnya pengundi akan beralih arah kepada pihak lawan.

Berhubung sokongan pengundi Cina yang meliputi 44.58 peratus daripada jumlah pengundi di kawasan itu, Nazri berkata beliau dapat melihat sokongan positif daripada golongan berkenaan yang dilihat semakin bertambah dari hari ke hari.

PRK di Simpang Jeram dan Pulai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PN, BN-PH dan Bebas, dengan Nazri akan berdepan saingan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN dan calon Bebas yang juga ahli perniagaan S. Jeganathan.

SPR menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak pada Sabtu ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.