1,144 Projek Libatkan RM61.1 Bilion Dilaksanakan Di Sabah Tahun Ini – Ahmad Maslan

KOTA KINABALU, 6 Sept – Sebanyak 1,144 projek merentasi kementerian dengan jumlah peruntukan RM61.1 bilion dilaksanakan di Sabah sepanjang tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata jumlah projek berkenaan adalah jumlah terbesar berbanding negeri lain dan jumlah projek berkenaan telah meningkat daripada tahun lepas iaitu 1,048 projek dengan peruntukan sebanyak RM48.1 bilion.

“Selain itu, Sabah juga mendapatkan peruntukan pembangunan terbesar pada tahun ini iaitu RM6.5 bilion berbanding RM5.1 bilion pada tahun lepas. Kita tahu peruntukan ini tidak mencukupi kerana Sabah negeri yang besar namun ia telah memperlihatkan bahawa Kerajaan Perpaduan memberikan komitmen dan keutamaan untuk membangunkan Sabah.

“Ada kemungkinan besar perkara ini (peruntukan besar kepada Sabah) akan berlaku juga dalam Belanjawan 2024,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Dialog Belanjawan 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata Belanjawan 2024 memberi tumpuan bagi penyelesaian prasarana yang melibatkan jalan raya, bekalan air, elektrik, jaringan Internet serta sekolah daif, klinik dan balai polis.

Mengulas mengenai majlis berkenaan, Ahmad berkata ia penting bagi memastikan penyediaan Belanjawan yang menyeluruh dan memenuhi hasrat segenap lapisan masyarakat dan entiti di Malaysia.

“Sesi libat urus yang pertama telah diadakan di negeri Melaka pada 21 Ogos lepas iaitu sesi dialog diadakan bersama jabatan, agensi persekutuan dan negeri, serta pemain industri yang tampil mengemukakan idea dan cadangan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2024.

“Sabah merupakan negeri yang kelima dalam Sesi Libat Urus Jelajah Negeri bagi penyediaan Belanjawan 2024. Selain sesi libat urus, kementerian juga mengumpul cadangan inisiatif secara dalam talian melalui portal cadangan Belanjawan 2024 untuk akses umum mulai 14 Julai 2023 sehingga 14 Sept 2023.

“Dengan itu, kerajaan akan dapat menerima secara terus daripada rakyat dan hasrat mereka untuk Belanjawan 2024,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.