PRK DUN Pelangai: BN Jangka Umum Calon Seminggu Sebelum Hari Penamaan

KUANTAN, 5 Sept – Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dalam tempoh seminggu sebelum hari penamaan calon pada 23 Sept ini.

Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pengumuman calon mereka akan dibuat pada 17 Sept atau mungkin lebih awal selepas dimuktamadkan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Setakat ini, kita mempunyai enam calon berpotensi dan kita akan tengok siapa lebih layak. Calon yang ada sudah pasti berkaliber, berwibawa dan diterima masyarakat setempat. Jadi, kita akan pilih calon yang terbaik,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Cheka di Jerantut dekat sini, dan Majlis Meraikan Pengekalan Man and Biosphere (MAB) UNESCO Tasik Chini di sini hari ini.

PRK DUN Pelangai diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Pahang, akibat nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Pesawat itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Selangor, dan nahas mengorbankan semua lapan individu di dalam pesawat selain masing-masing seorang pemandu kereta e-hailing dan penghantar makanan yang melalui jalan itu semasa kejadian.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Okt ini, manakala 3 Okt sebagai hari mengundi awal.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, Johari yang bertanding mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN Kasim Samat yang memperoleh 3,260 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri mendapat 2,031 undi dan calon Pejuang Isa Ahmad meraih 65 undi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.