Kewangan Pahang Baik, Kutip Hasil RM836.439 Juta Setakat Ini – MB
KUANTAN, 5 Sept – Kedudukan kewangan Pahang berada dalam keadaan baik dan memberangsangkan dengan kutipan hasil negeri setakat semalam berjumlah RM836.439 juta, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sehubungan itu, beliau optimis sasaran RM1.083 bilion yang ditetapkan tahun ini dapat dicapai dalam tempoh masih berbaki empat bulan, menerusi pelbagai pelan dan strategi yang dilaksanakan kerajaan negeri tanpa membebankan rakyat.
“Sebaliknya kerajaan negeri berjaya meningkatkan kutipan hasil berdasarkan beberapa tindakan termasuklah meningkatkan kecekapan pentadbiran, mengurangkan ketirisan dan kebocoran serta melaksanakan inisiatif baharu untuk menambah hasil.
“Kerajaan negeri juga masih berupaya menjaga kebajikan rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif seperti Bantuan Prihatin Pahang dengan peruntukan RM42.4 juta tahun ini, yang diberikan kepada semua tanpa mengira warna kulit, latar belakang atau fahaman politik,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian pada Ucapan Penangguhan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Wan Rosdy mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.
Menyifatkan Johari sebagai seorang yang tekun, berdedikasi dan komited dalam tugas, Wan Rosdy berkata kehilangan Allahyarham sudah pasti memberi kesan besar kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Bentong kerana sikap beliau yang suka membantu rakyat.
Johari, 53, antara 10 yang terkorban selepas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Pulau Langkawi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Selangor terhempas pada 2.48 petang di Bandar Elmina, Shah Alam.
Selain lapan individu dalam pesawat, nahas itu turut mengorbankan masing-masing seorang pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing yang melalui jalan itu semasa pesawat malang tersebut terhempas.
Sehubungan itu, Wan Rosdy berharap Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 7 Okt ini, dengan tempoh kempen bermula pada 23 Sept, berjalan dengan lancar, sihat dan matang serta dihindari daripada provokasi yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama yang boleh menganggu keharmonian negeri.
“Selepas selesai PRK ini berlangsung, tidak kiralah siapa yang menang, saya minta kita ketepikanlah sentimen politik 24 jam dan berilah tumpuan untuk sama-sama bekerja bagi majukan negeri, yang perlu dibangunkan dengan kestabilan, keharmonian dan kemakmuran supaya pelabur terus yakin dan ekonomi dapat dipacu lebih baik untuk mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Beliau juga berharap supaya Barisan Nasional (BN) dapat mempertahankan kerusi DUN Pelangai yang dimenangi Johari pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang memperoleh 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).
Persidangan bersambung pada tarikh ditetapkan kelak. – BERNAMA