Kerajaan Jamin Pencen Pesara Diteruskan, Rancang Penambahbaikan

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Kerajaan kekal komited meneruskan pencen pesara walaupun berdepan tanggungan perbelanjaan mengurus (OE) yang semakin meningkat.

Malah, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata penambahbaikan sedang diusahakan menerusi kajian menyeluruh melibatkan gaji penjawat awam dan skim pencen.

Menurut Ahmad dianggarkan 32,000 pesara baharu direkodkan setiap tahun dan kerajaan membelanjakan RM31 bilion bagi membayar pencen lebih 900,000 pesara.

Daripada jumlah itu, 768,947 pesara termasuk penerima pencen terbitan di bawah Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

“Sehingga Julai, dana kasar KWAP yang belum diaudit mencecah RM184.5 bilion. Lebih kurang 80 peratus dana dilaburkan di dalam negara, dan 20 peratus adalah pelaburan antarabangsa,” katanya kepada pemberita di Forum Pencarum KWAP 2023.

KWAP, yang merupakan pengurus dana ketiga terbesar selepas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Bhd, menyumbang dividen sebanyak RM3 bilion kepada kerajaan.

Justeru, Ahmad mahu KWAP mengoptimumkan pelaburan.

Menurutnya, masing-masing 40 peratus dana KWAP dilaburkan di dalam sekuriti pendapatan tetap dan ekuiti persendirian, manakala selebihnya di dalam sektor hartanah dan ekuiti awam.

KWAP menyasarkan dana kasar mencecah RM200 bilion pada 2025 dengan pelaburan pulangan sebanyak tujuh peratus. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit