Kerajaan Sasar Jadikan Melaka, Negeri Mesra Pelabur – Ab Rauf

MELAKA, 24 Ogos – Kerajaan menyasarkan pembangunan kawasan perindustrian baharu bagi memastikan sektor pelaburan dan perindustrian terus berkembang menjadikan Melaka sebagai negeri mesra pelabur, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata usaha itu termasuk menggalakkan penyertaan pihak swasta untuk menerima pelaburan berkualiti, mengutamakan bidang sedia ada dan pertumbuhan baharu yang memiliki nilai tambah tinggi.

“Kerajaan negeri berhasrat untuk membangunkan kawasan perindustrian baharu dikenali sebagai Taman Teknologi Jerman di Melaka serta membangunkan Pelan Induk Perindustrian Negeri Melaka.

“Selain itu, pembangunan kawasan perindustrian baharu di seluruh Melaka seperti projek MCorp Hi-Tech Park seluas 2,023 hektar di Masjid Tanah, pembesaran 243.52 hektar kawasan Perindustrian Elkay di Lipat Kajang, Jasin dan 809.4 hektar kawasan perindustrian di koridor ekonomi M-WEZ,” katanya di Seri Negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Taat Setia Ketua Menteri Melaka pada sesi pertama Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Sambutan Ulang Tahun Yang Dipertua Negeri ke-74, Tahun 2023.

Ab Rauf berkata Invest Melaka Berhad akan diberi peranan untuk membentuk Jawatankuasa Penasihat Pelaburan Negeri Melaka sebagai pemudah cara segala urusan berkaitan pelaburan.

Katanya Melaka telah berjaya mencapai sasaran kemasukan Pelaburan Asing Langsung dan Pelaburan Domestik sebanyak RM8.6 bilion pada 2022 dan nilai itu adalah yang tertinggi diterima setakat ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beliau juga memaklumkan kerajaan negeri telah mencapai 62 peratus inisiatif yang telah dilaksanakan bagi memakmurkan negeri ini iaitu sebanyak 111 daripada 180 inisiatif, manakala 69 lagi masih dalam tindakan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan beberapa peruntukan kepada Melaka berjumlah RM662.457 juta dengan 59 projek baharu dan 150 projek sambungan bagi tahun ini.

“Ini juga termasuklah meluluskan peruntukan RM25 juta bagi memelihara dan memulihara Tapak Warisan Dunia Melaka serta pengumuman awal mengenai kelulusan RM5juta untuk promosi Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.