Speaker Pahang Serah Notis Kekosongan Dun Pelangai Kepada SPR

KUANTAN, 21 Ogos – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin hari ini menyerahkan notis perisytiharan kekosongan kerusi DUN Pelangai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun.

Notis itu diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang Datuk Zamree Hamli di Wisma Sri Pahang, di sini pada 11.20 pagi.

Zamree ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan SPR berkemungkinan akan mengadakan mesyuarat mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi DUN Pelangai pada minggu ini juga.

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata penyerahan notis itu merupakan prosedur ditetapkan sekiranya terdapat mana-mana kerusi DUN kosong antaranya disebabkan berlaku kematian.

“Hari ini kita telah serahkan notis kepada SPR untuk memaklumkan kekosongan kerusi DUN Pelangai selepas Johari meninggal dunia pada 17 Ogos,” katanya.

Penyandang kerusi DUN Pelangai Johari, 53, antara 10 yang maut dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, Khamis lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Johari yang pertama kali bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Sehingga Mei lepas, DUN Pelangai mempunyai 16,475 pengundi berdaftar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.