Tun M Cukuplah Mainkan Isu Kaum, Rakyat Mahu Fokus Bangunkan Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Mohd Huzaidi Mohd Hussin berharap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhenti daripada memainkan sentimen melibatkan perkauman.

Katanya tindakan pemimpin itu mendakwa Dap mempunyai pengaruh besar dalam pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti mempergunakan orang Melayu demi kepuasan sendiri.

“Cukuplah mempergunakan orang Melayu dengan main isu perkauman demi kuasa dan pangkat.

“Kebanyakan orang Melayu rata-rata sudah move on dan ingin melihat kembali kebangkitan negara Malaysia dari segi ekonomi dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau berkata dakwaan Tun Mahathir juga tidak berasas kerana pada ketika ini Kabinet Kerajaan Perpaduan hanya dibarisi empat pemimpin Dap.

“Dap hanya ada empat sahaja jawatan menteri. Di mana yang dikatakan Dap mempunyai pengaruh besar dalam pentadbiran Perdana Menteri?

“Lain la di zaman beliau dulu berapa ramai Ahli Parlimen dari Dap yang dia lantik dan meletakkan jawatan-jawatan penting dalam Kabinet. Sudah-sudahlah Tun Mahathir,” tegas beliau.

Semalam, Tun Mahathir menerusi blognya berkata pengaruh Dap dalam Kerajaan Perpaduan amat kuat dan menurutnya lagi ini ekoran peratusan keluar mengundi sebanyak 95 peratus adalah dalam kalangan pengundi Cina.

Bagaimanapun, Bridget Welsh dari Universiti Nottingham berkata, data menunjukkan peratusan keluar mengundi pengundi Melayu adalah sebanyak 79 peratus, berbanding 78 peratus pengundi India, 69 peratus Cina, dan 59 peratus lain-lain. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.