UMNO Perjuang Nasib Pekerja GIG Di Malaysia – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ni menerima memorandum penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGiM) bagi memastikan nasib pekerja gig di negara ini terbela.

Memorandum itu dihantar melalui tiga wakil pertubuhan iaitu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) dan Gabungan eHailing Malaysia (GEM).

“Memorandum ini dihantar kepada UMNO Malaysia untuk membela nasib pekerja dalam industri gig ekonomi tetapi saya sendiri melalui Datuk Sharkar (Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin), badan bukan kerajaan dan MTUC telah membawa perkara ini lebih awal.

“Jadi hari ini mereka datang bukan sekadar untuk hantar memorandum tetapi mengucapkan terima kasih di atas inisiatif UMNO yang membawa perkara ini dan UMNO akan memperjuangkan nasib pekerja gig di seluruh negara, insya-Allah,” kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO kepada pemberita selepas menerima memorandum itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Semalam semasa menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan UMNO 2023, Ahmad Zahid mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGiM) untuk mengawal selia ekosistem industri gig di negara ini.

Ahmad Zahid berkata saranan itu juga bagi menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi, bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna sektor berkenaan.

Sementara itu, Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani berkata idea penubuhan SEGiM dijangka dapat memberi faedah kepada pekerja ekonomi gig setelah kebajikan dan nasib mereka tidak terbela sejak kebelakangan ini.

“Saya rasa perkara ini MTUC sudah perjuangkan hampir empat tahun dan akhirnya ini cadangan daripada Datuk Seri Zahid Hamidi yang sudah dijadikan realiti.

“Saya rasa inilah satu manifestasi MADANI (ihsan) dan saya yakin perkara ini akan menjadi kenyataan kerana idea ini telah dicadangkan oleh Presiden UMNO sendiri,” katanya yang berharap perkara itu dapat membantu landskap ekonomi gig ke arah lebih baik dengan kerjasama kerajaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.