UMNO Bangkit… Kembali Junjung Institusi Parti, Hormat Perlembagaan Termaktub

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Untuk terus memperkasakan UMNO, ahli-ahlinya perlu kembali menjunjung institusi parti dengan menghormati perlembagaan yang telah termaktub.

Pengarah Komunikasi Dan Strategik UMNO Negeri Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman @ Abdul Halim berkata, parti itu seharusnya sedar mengenai keadaan semasa yang mengalami defisit hakisan kepercayaan rakyat.

“Demi memperkasa parti, ahli UMNO perlu kembali menjunjung institusi parti itu sendiri. Jangan lawan arus perlembagaan parti sama sekali.

“Sebagai ahli UMNO, kita perlu menghormati sistem dan perlembagaan parti yang telah berfungsi dan sedia ada ini.

“Kembali kepada sistem dan meluhurkan institusi, adalah jauh lebih baik untuk parti. Kita perlu sedar kedudukan UMNO ketika ini yang mengalami defisit hakisan kepercayaan rakyat,” katanya ketika sesi perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.

Jelasnya, dalam mengurus sentimen dan persepsi rakyat, adalah lebih penting sekiranya parti mencari jalan untuk menyelesaikan isu kepercayaan serta keyakinan mereka terhadap parti.

“Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menunjukkan mesej yang jelas bahawasanya sesuatu perlu dilakukan untuk UMNO kembali diterima dan dipercayai rakyat. Namun, dalam kita mengurus sentimen dan persepsi rakyat, saya fikir adalah jauh lebih penting pada ketika ini kita mengurus isu kepercayaan serta keyakinan terhadap parti kita ini.

“Hakikatnya dalam kalangan ahli UMNO hari ini, wujud golongan berjaya dipengaruh dengan andaian persepsi negatif dan buruk terhadap struktur kepimpinan parti khususnya yang diterajui oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Datu Rosman turut menjelaskan bahawa UMNO sentiasa melakukan sesuatu keputusan berdasarkan musyawarah ataupun perbincangan.

“Tindakan yang berpandukan kepada musyawarah, UMNO membuat keputusan secara perbincangan lalu melaksanakan keputusan tersebut setelah keputusan secara kolektif dicapai.

“Apa pun yang terjadi, isu tersebut akan diselesaikan melalui struktur kepimpinan parti itu sendiri dan melalui punca-punca kuasa sedia ada termasuk dalam PAU.

“Sebab itu, terus percaya kepada kepimpinan semasa yang menerajui parti menggunakan kebijaksanaan, untuk merancang dan mengatur strategi,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.