Tanpa Kekok… Kali Pertama Abdul Fattah Pengerusikan Persidangan PAU 2023

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah memulakan tugasnya buat kali pertama dengan mempengerusikan persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini.

Memasuki hari kedua persidangan, beliau diberi kepercayaan oleh Pengerusi Tetap Tan Sri Badruddin Amiruldin untuk mengendalikan perhimpunan yang melibatkan parti terbesar orang Melayu itu pada sesi pagi tadi.

Sebelum menyerahkan pentas kepada pembahas, Abdul Fattah mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang memilihnya bagi memegang amanah sebagai Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia ketika Pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 pada Mac lalu.

Sebelum ini, jawatan tersebut disandang oleh Datuk Seri Rizuan Ab Hamid tetapi beliau meninggal dunia pada Mei 2021 akibat COVID-19.

Katanya juga, walaupun pertama kali mempengerusikan persidangan PAU, ia tidak asing dan kekok baginya kerana pernah mempengerusikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kira-kira sepuluh tahun yang lalu.

Tambah menarik katanya, ramai kepimpinan parti sama ada yang berada di atas pentas mahukan sebagai perwakilan merupakan kenalan lama ketika zaman Pemuda dahulu.

Tinjauan UMNO Online mendapati Abdul Fattah berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik mengawal keadaan dan adakalanya turut berseloroh serta mencelah sesi perbahasan dan menggamit suasana dewan.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) itu sebelum ini juga berpengalaman sebagai Pengerusi Tetap dan juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan aktif di UMNO Bahagian Cameron Highlands.

PAU 2023 bermula pada Rabu lalu dimulakan dengan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO diikuti persidangan ketiga-tiganya pada keesokannya.

Semalam, berlangsung majlis perasmian PAU 2023 dan ucapan dasar Presiden. – UMNO ONLINE #NegaraBangsaPAU2023

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.