Tambah Baik, Jangan Sukarkan Pelepasan Individu Bankrap – Fairul Nizam

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Wakil Melaka Fairul Nizam Roslan mencadangkan agar kerajaan menambah baik sistem kebankrapan dan Rang Undang-Undang Insolvensi.

Ketika berucap membahaskan usul ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, beliau menegaskan cadangan pindaan yang dipertimbangkan kerajaan termasuk penetapan had masa pemfailan borang bukti hutang oleh pemiutang (Seksyen 42 dan Jadual C Akta 360).

“Untuk mengelakkan isu pemfailan yang boleh menyukarkan pelepasan individu bankrap, membuat penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan automatik mengikut Seksyen 33C Akta 360 supaya individu yang bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh yang lebih singkat.

“Kerajaan perlu melihat cadangan untuk membolehkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbiran kes kebankrapan bagi memudahkan urusan pelanggan, pemegang taruh dan jabatan.

“Pindaan kepada undang-undang sedia ada itu akan membolehkan sekurang-kurangnya 130,000 orang daripada 260,000 kes bankrap mendapat pelepasan kebankrapan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah menjelaskan peminjam berstatus bankrap ini bukan culas dalam membayar balik dan bukan lupa pada tanggungjawab tetapi semua aset-aset dibekukan.

“Mereka tidak berdoa dan meminta untuk jatuh bankrap tetapi yang sebilangannya dalam jurusan profesional mencuba nasib untuk menjalankan perniagaan selaras dengan hasrat kerajaan untuk melibatkan pembabitan golongan usahawan graduan.

“Namun disangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan tengah hari. Perniagaan yang dijalankan tidak berjaya sehingga mengakibatkan jatuh muflis. Berilah peluang kedua buat pemimjam dan anak-anak mereka kerana ini adalah aset negara.

“Santunilah, dekatilah, selamilah jiwa dan hati mereka. Kebiasaannya yang pernah gagal itu sarat dengan pengalaman yang berharga. Berilah peluang kedua dan permudahkan segala urusan untuk mengeluarkan daripada senarai hitam,” ujarnya.

Tegasnya, ada anak-anak peminjam serta penjamin yang berstatus bankrap ini tidak diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran sedangkan keputusan yang diperolehi cemerlang untuk menyambung pelajaran. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.