Sekretariat NGO & Kesatuan Sekerja UMNO Alu-Alukan Cadangan Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGM) dilihat akan membantu perkembangan industri berkenaan di negara ini sekaligus membantu golongan yang menceburkan diri dalam sektor tersebut.

Ketua Sekretariat NGO & Kesatuan Sekerja UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata perkara tersebut yang terkandung di dalam ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam jelas membuktikan keprihatinan parti tersebut dalam usaha membela nasib pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita ingin menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO Malaysia kerana mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGM) dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 kepada kerajaan Malaysia.

“Cadangan penubuhan Suruhanjaya Eini  adalah hasil daripada Sesi Libaturus Sekretariat bersama wakil Persatuan Penghantar dan Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) pada 26 May 2023 yang lalu,” katanya kepada UMNO-Online.

Sharkar seterusnya menambah hasil daripada sesi libaturus tersebut, Sekretariat NGO & Kesatuan Sekerja UMNO Malaysia, Persatuan Penghantar dan Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia sebagai langkah besar untuk menyelesaikan isu pertindihan kuasa dalam usaha mengawal selia keseluruhan ekosistem industri GIG.

Tambah beliau lagi, hasil daripada kajian sekretariat, terdapat 10 Kementerian dan Agensi Kerajaan yang terlibat untuk mengawal selia rantaian persekitaran industri GIG. Dengan adanya Suruhanjaya ini, punca kuasa untuk mengawal selia industri GIG akan dapat dipusatkan secara sistematik.

“Perkembangan industri GIG sangat pesat di Malaysia dengan 2.2 juta pekerja GIG telah berdaftar dengan MDEC setakat hari ini. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, 30% daripada keseluruhan pekerja di Malaysia adalah daripada industri GIG. Mengikut kajian, jumlah ini akan meningkat kepada 60% pada 2027.

“Sekretariat NGO dan Kesatuan Sekerja juga mendapati Akta yang diwujudkan sebelum ini belum dapat menyelesaikan isu berbangkit secara tuntas. Masih ada lagi rungutan dari pemegang taruh terutamanya penggerak industri GIG yang terdiri daripada penghantar dan pemandu,” ujarnya.

Beliau seterusnya menyatakan komitmen untuk membantu menjayakan penubuhan Suruhanjaya tersebut dan amat berharap agar usaha pro aktif ini akan dapat membantu perkembangan industri GIG di Malaysia dan memastikan persekitaran industri GIG i dapat dikawal selia untuk menjaga keseluruhan rantaian ekosistem industri GIG.

UMNO mencadangkan supaya kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) yang bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig dan menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal dan sehingga pekerja dan pengguna.

Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sektor ini kian berkembang pesat di negara ini dengan lebih 1.12 juta pekerja gig telah berdaftar dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.