Rejuvenasi UMNO Beri Harapan Anak Muda Untuk Masa Hadapan – UMNOSiswa

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Anak muda mahu melihat UMNO untuk berejuvenasi sebagai harapan baharu mereka bagi memastikan parti ini terus relevan menempuhi cabaran mendatang.

Luahan tersebut disuarakan oleh pembahas mewakili UMNOSiswa, Ainool Husaini Md Yatim yang berkata rejuvenasi tersebut wajib untuk dilaksana kerana parti telah menerima dua isyarat penolakan daripada rakyat termasuk generasi baharu.

“UMNOSiswa mahu melihat satu pengharapan baharu. The new hope, the new approach, the new norms of politics dan politik yang berasaskan nilai.

“Ini adalah masa yang paling sesuai dan jika bukan sekarang, kita mungkin akan terlepas daripada mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO.

“Itu memberi sebab yang paling kukuh mengapa proses demokrasi hari ini sangat diperlukan dan kita perlu pastikan agenda rejuvenasi dapat dijayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membawa usul membahas ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO di sini, petang semalam.

Ainool dalam pada itu meluahkan penghargaan dengan pendekatan yang dilakukan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mengangkat peranan anak muda di setiap bahagian.

Jelas beliau, penetapan dengan meletakkan ahli jawatankuasa di bahagian dalam kalangan belia yang berusia 25 tahun ke bawah adalah suatu yang perlu dirai.

”Rejuvenasi pemuda merupakan proses penting dalam membina semula parti daripada bawah kerana anak muda adalah aset berharga bagi masa depan negara.

”Sesungguhnya, ia akan memberi anjakan paradigma kepada pergerakan pemuda selepas ini.

”Bahkan UMNOSISWA sendiri pada saat ini ibarat gula yang dikeremuni semut menjadi tumpuan di peringkat bahagian dan juga kepimpinan parti kerana kemampuan dalam pengolahan idea baharu dan adaptasi kepada perkembangan semasa,” katanya.

Menurut Ainool lagi ini juga dapat dilihat menerusi gerak kerja ketika siri pilihan raya berlangsung bermula di Pilihan Raya Kecil Slim sehingga ke baru-baru ini iaitu PRU15.

Katanya, pendekatan baharu dalam menambat hati pengundi seperti speakers corner, chanting, media sosial dan juga panggung rakyat telah mempotretkan UMNO sedang berubah dan dilihat berubah.

”Walaupun rakan rakan tidak dijanjikan dengan wang ringgit ataupun harta berjuta namun semangat perjuangan tetap diteruskan.

”Anak muda merupakan pemangkin pembangunan negara, dan dengan memberikan mereka peluang dan sokongan yang mencukupi, kita mampu mencapai impian-impian dan aspirasi-aspirasi negara,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.