‘Produce Argument’ Sebanyak Mungkin, Bukan Lagi Masa Bertahan – Zaidi

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Wakil UMNO Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata parti itu perlu ‘produce argument’ sebanyak mungkin dan tidak lagi mengambil sikap bertahan.

Jelas beliau keadaan itu yang berterusan menyebabkan pihak lawan terus menerus menjadikan UMNO sebagai sasaran dengan gerakan yang cukup tersusun.

“Kita bercakap setiap hari membawa sentimen..sedangkan mereka ini (pihak lawan) ‘produce argument’ untuk kita dan sampai bila kita terus menjawab. UMNO perlu ‘produce’ sebanyak mana ‘argument’ itu.

“Kalau kita lihat mereka serang…serangan dengan susunan dan kita seolah-olah tidak ada koordinator…jadi media sosial kita perlu berubah dan perlu rakyat terima ‘argument’ yang kita ‘producekan’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membawa usul menyokong ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO di sini, hari ini.

Mohd Zaidi seterusnya menambah lebih 60 tahun UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan dengan membangunkan negara selain membangunkan modal insan serta keluarkan modal insan dengan hebat dan mentadbir bersungguh-sungguh.

“UMNO terlupa untuk menanam doktrin jihad pada ahli parti kerana UMNO terlalu fokus pada usaha membina negara, melahirkan generasi hebat serta memelihara keharmonian kaum secara adil.. .Akhirnya negara capai kemajuan, negara hebat tetapi parti menjadi sebaliknya apabila tumbang pada PRU.

“Kita bangunkan negara ini dan terapkan negara ini penuh kebaikan akhirnya UMNO dihukum rakyat dan segala jasa tidak ke mana disebabkan parti lain ambil kesempatan menanam kebencian kuat kepada UMNO. Kita sibuk bangunkan negara…dan akhirnya kita tewas,” ujarnya.

Beliau seterusnya mengingatkan ahli politik agar tidak menjadi mereka yang menghidupkan kedunguan dengan membangkitkan soal-soal yang tidak berkaitan dengan kehidupan rakyat.

“Rakyat pada masa ini sedang susah…gula jadi isu, minyak jadi isu..tepung kena beratur untuk dapatkan..telur tak ada dan ini realiti tetapi pemimpin Perikatan Nasional (PN) terutamanya masih membicara soal remeh sepertimana yang diungkap MB (menteri besar) Kedah…ada yang diungkapkan kadang-kala tidak untungkan rakyat.

“Seolah-olah rakyat boneka kuasa yang ingin mereka lanjutkan. Ini politik kedunguan pada abad ini. Jangan salah anggap…saya tidak kritik mana-mana individu…saya kritik pembawakannya,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menggesa agar kerajaan mengekang dan melakukan kawalan terhadap politisasi agama di negara ini kerana ianya dikhuatiri boleh mengancam keselamatan. 

“Kerajaan tidak boleh membiarkan politisasi agama dimainkan kerana ia akan membahayakan masa depan negara.  Banyak negara yang berkonflik sekarang ini seperti di Somalia,Sudan,Syria, Pakistan, Selatan Thai, Filipina, Myanmar adalah kerana politisasi agama. Untuk itu Kerajaan perlu berani mengekang dan melakukan kawalan dengan akta dan undang-undang yang lebih jelas,” tambahnya.UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.