PRN Bawa Cabaran Besar, Menjadi Penentu Jatuh Bangunnya UMNO – Noraini

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) merupakan penanda aras kepada masa hadapan UMNO.

Menurut beliau, untuk itu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ini sebagai medan terbaik kepada parti sebagai persiapan terakhir dalam menempuhi medan pertempuran pilihan raya di enam negeri ini.

“PRN ini menjadi penentu jatuh bangunnya parti kita, pertempuran ini sangat penting walaupun UMNO diuji dengan pelbagai dugaan harapan kita sebenarnya satu, apa yang kita hendak buat untuk pulihkan UMNO dan kembalikan sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“PAU kali ini memang sangat penting sebab kita hendak melangkah masuk ke medan PRN, kebijaksanaan dan gerak kerja untuk pastikan kejayaan dalam PRN ini.

“Kekalahan itu bukan pilihan kita dan berdepan dengan dinamika politik negara ketika ini, kita berhadapan dengan satu cabaran yang cukup besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia, semalam.

Noraini juga pada masa sama turut menyentuh berkenaan kerjasama UMNO dengan parti-parti lain dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau perkara tersebut perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam menyatukan sokongan rakyat kepada 19 parti yang mendukung kerajaan.

“UMNO perlu segera menentukan jalur politik yang hendak dibawa dan komponen dalam kerajaan ini seperti yang kita sedia maklum bahawa bukan hanya ada BN dan Pakatan Harapan (PH) sahaja.

“Kita ada GPS, GRS, Warisan dan 19 parti komponen keseluruhannya dan apabila kita semua bersama dan potensi yang ada di dalam gabungan ini perlu kita manfaatkan.

“Jangan sesekali disia-siakan, kita boleh satukan kekuatan setiap gabungan supaya dapat dimanfaatkan bersama.

“…dan berbekalkan pengalaman yang pelbagai kita mampu memberikan tawaran yang terbaik kepada rakyat dan mengembalikan sokongan mereka,” ujar beliau.

Noraini juga turut berharap parti lawan bertindak matang dan tidak menggunakan sentimen 3R iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (institusi beraja) ketika berkempen pada PRN kelak.

“Melihat kepada senario kempen pilihan raya yang lepas kita tahu pelbagai fitnah dan tohmahan yang telah dibuat dan diberikan kepada BN. Naratif perkauman dan agama paling banyak dicetuskan ahli politik dalam kempen media sosial sepanjang PRU yang lepas terlalu banyak hantaran di media sosial dengan sengaja mencetuskan kontroversi yang berunsurkan elemen 3R.

“Kajian oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menunjukkan bahawa ahli politik telah dikesan sebagai pelaku utama yang menyumbang kepada naratif kaum.

“Sikap tidak bertanggungjawab ini memang sering dimainkan oleh pembangkang, mereka hanya pandai memainkan sentimen dan ini tentunya tidak memberi satu budaya yang sihat kepada negara kita,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.