Pembangkang Gentar Lihat Kesepaduan 19 Parti Yang Mendukung Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Pembahas mewakili Selangor untuk Perhimpunan Agung Wanita UMNO, Naz Azra Sabtu berpandangan pembangkang sebenarnya gentar melihat kesepaduan yang dicapai oleh parti-parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan.

Beliau malah menitipkan pesanan kepada ahli UMNO untuk tidak cepat melatah apabila parti dilabelkan dengan pelbagai perkara negatif kerana ini adalah langkah pihak lawan untuk membuatkan parti keramat ini lemah dan tidak berdaya.

“Kita harus mampu melihat benda ini dalam jiwa yang besar, mereka yang kecewa dan keliru akan kekal membawa naratif bahawa kita sudah tersasar dari perjuangan. Ini adalah strategi mereka untuk memecahkan kita, walhal mereka sendiri juga tidak pasti sama ada pakatan yang mereka sedang usahakan mampu memberi kemenangan.

“Kehadiran UMNO dalam Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada parti lain seperti PKR, Dap dan Amanah menjadi satu ancaman kepada mereka sehinggakan mereka sanggup melakukan perkara-perkara yang biadap dan melanggar kesucian agama Islam.

“Kebaikan kerajaan yang ada sekarang adalah merangkumi 19 buah gabungan parti politik, bukan hanya BN/UMNO dan Dap sahaja,” katanya.

Azra berkata demikian pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini petang tadi.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Ampang berkata situasi ini sebagai suatu ujian baharu untuk ahli parti terus kuat bersama.

Jelasnya lagi walaupun UMNO tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lepas, namun kekalahan tersebut bukan menunjukkan parti ini lemah sebaliknya menunjukkan bahawa UMNO sentiasa bangkit demi mempertahankan survival anak bangsa, agama dan negara.

“…kerana ini adalah sumpah setia kita dalam UMNO, jangan kita goyang, jangan kita mengalah.

“Jangan kita mudah terpedaya dengan pujukan, fitnah dan tipu daya dari mereka kerana mereka tahu bahawa UMNO ini adalah parti keramat,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.